Lelaki ditemukan lemas selepas lari dari serbuan

Mayat seorang lelaki ditemukan di Sungai Kelantan berhampiran Pasir Pekan, Tumpat.
Mayat seorang lelaki ditemukan di Sungai Kelantan berhampiran Pasir Pekan, Tumpat.
A
A
A

TUMPAT - Seorang lelaki ditemukan lemas di Sungai Kelantan berhampiran Pasir Pekan di sini selepas dipercayai melarikan diri daripada serbuan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dollah berkata, maklumat tersebut hasil siasatan yang dijalankan pihaknya berkait dengan penemuan mayat terbabit.

"Pada Khamis sekitar jam 3.30 petang pihak kami telah menerima laporan berkaitan penemuan mayat lelaki di tebing sungai berhampiran Pasir Pekan.

"Bertindak atas laporan, pihak kami telah ke lokasi dan mendapati mayat tersebut berada dalam keadaan terapung serta hanyut dibawa arus sungai," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, mayat berkenaan kemudian telah dibawa ke darat oleh pasukan bomba.

Ujarnya, hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa sudah membengkak dan berbau namun masih lengkap berpakaian.

Amran memberitahu, pemeriksaan turut mendapati tiada kesan luka yang terdapat pada tubuh badan mangsa.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat dan pegawai perubatan mengesahkan punca kematian disebabkan oleh lemas.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.