'Saya tak pandang paras rupa, bentuk fizikal'

Julia (kiri) ketika menyarungkan cincin di jari Nurfahana pada majlis pertunangan 24 April lalu.
Julia (kiri) ketika menyarungkan cincin di jari Nurfahana pada majlis pertunangan 24 April lalu.
A
A
A

TEMERLOH - "Saya tak pandang bentuk fizikal dan menerima dengan sebaiknya pilihan anak," kata seorang usahawan, Julia Muhamad, 51, selepas tular sebuah klip video majlis pertunangan di TikTok beberapa hari lalu.

Sehingga kini, klip video berdurasi 14 saat itu telah meraih lebih satu juta tontonan, 115.1 ribu tanda suka, 1,254 komen dan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang turut memuji tindakan Julia.

Dalam klip video tersebut, Julia segera menjawab 'boleh' selepas seorang tetamu wanita berkata 'nak masuk pun tak boleh' ketika momen menyarungkan cincin pada jari tunang anaknya, Nurfahana Norizam Shah, 24, pada majlis yang diadakan di Ulu Tiram, Johor, 24 April lalu.

"Saya pun spontan jawab ketika itu dan cincin tersebut memang muat, mungkin suasana lain sebab tunang anak sedikit gugup.

"Ini juga adalah kali pertama saya jumpa Nurfarhana dan tidak menjangka ia boleh menjadi tular selepas dikongsi oleh tunang anak di platform TikTok beberapa hari lalu," kata Julia kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Klip video itu mendapat perhatian netizen kerana sikap seorang tetamu wanita yang dianggap kurang sopan kerana melakukan 'body shaming' terhadap Nurfahana.

Ujar Julia, beliau merestui pilihan anak sulungnya, Danial Danish Khairudin, 26, dengan Nurfahana yang berhubungan jarak jauh memandangkan kedua-duanya bekerja di lokasi berbeza.

"Saya tak pandang paras rupa, bentuk fizikal asalkan kedua-duanya serasi dan saling menerima antara satu sama lain serta mengharapkan yang terbaik buat mereka," jelas Julia yang juga bekas pendidik.

Tambah wanita itu lagi, majlis pertunangan anaknya istimewa kerana cincin yang diberikan kepada bakal menantu ditempah khas sama bentuk seperti cincin pertunangannya dahulu.

"Sekarang saya bersyukur dan gembira kerana sudah memiliki anak perempuan kerana saya memang tiada anak perempuan," kata ibu kepada dua cahaya mata lelaki tersebut.