Cuaca panas pengaruhi penghasilan penyu jantan

Mohd Uzair (kanan) memberi penerangan di salah satu kawasan konservasi penyu di Pusat Taman Laut di Pulau Redang.
Mohd Uzair (kanan) memberi penerangan di salah satu kawasan konservasi penyu di Pusat Taman Laut di Pulau Redang.
A
A
A

KUALA NERUS - Keadaan cuaca panas atau fenomena El Nino yang dialami di seluruh negara dijangka mempengaruhi penghasilan penyu jantan melalui telur yang ditetaskan di kebanyakan pusat konservasi hidupan marin itu.

Ketua Makmal Penyelidikan Luar, Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Mohd Uzair Rusli berkata, suhu panas menyebabkan kecenderungan untuk menghasilkan induk betina lebih tinggi berbanding induk jantan.

Antara penyu yang dirakam di Turtle Point, Pulau Redang.
Antara penyu yang dirakam di Turtle Point, Pulau Redang.

"Pengeraman telur penyu untuk menghasilkan induk jantan dan betina sedikit unik, tidak seperti manusia. Untuk manusia, jika ayah menyumbangkan X (kromosom) maka akan mendapat bayi lelaki, jika Y (kromosom) akan dapat bayi perempuan.

"Tetapi, untuk penyu pula penentuan jantina adalah ketika proses pengeraman telur itu di mana proses tersebut berlaku dalam tempoh dua bulan.

"Dalam tempoh itu iaitu ketika fasa selepas 40 hari pengeraman kita perlu pastikan suhu tidak terlalu tinggi kerana ia akan menyebabkan kita menghasilkan banyak induk-induk betina sahaja," katanya kepada pemberita ketika melawat Pusat Taman Laut di Pulau Redang, di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Fadli Yusof Zakaria.

Menurut Mohd Uzair, pelbagai inisiatif dilakukan bagi memastikan telur penyu yang dieram menghasilkan induk jantan termasuk meletakkan teduhan di kawasan pengeraman.

"Fenomena El Nino memberi kesan kepada penghasilan induk-induk penyu jantan, sebab itu kita perlu pastikan kaedah yang digunakan di pusat penetasan terutama proses pemindahan telur penyu di pusat penetasan perlu dieram pada kedalaman yang betul.

"Telur yang dieramkan pada kedalaman kurang daripada 20 sentimeter (cm) akan terdedah kepada perubahan suhu harian. Telur penyu tidak seperti spesis ayam atau burung, ia memerlukan suhu pengeraman yang stabil.

Mohd Uzair
Mohd Uzair

"Selain teduhan, kita juga perlu memastikan kesemua telur yang dipindahkan ke pusat penetasan dieramkan dengan kaedah yang tepat. Misalnya, terdapat kes di mana sarang yang digali tidak cukup dalam dan akhirnya menjejaskan proses pengeraman," jelasnya.

Ujarnya, setakat ini penghasilan penyu jantan di kebanyakan pusat konservasi hampir tiada atau 0 peratus.

"Berdasarkan hasil kajian kami pada 2021. kita hampir tidak berjaya menghasilkan mana-mana induk jantan jika telur penyu dieramkan di kawasan terbuka atau kawasan teduhan.

"Sebab itu cabaran untuk melakukan usaha saintifik ini memerlukan sokongan kerana definisi kejayaan bagi proses konservasi penyu ini berbeza-beza. Kejayaan dalam usaha ini bagi kami ialah apabila penyu ini kembali semula ke sini untuk bertelur.

"Walaupun kita menghasilkan hampir 1,000 anak penyu daripada satu induk penyu sebenarnya ia boleh menjadikan satu sahaja induk penyu yang kembali semula ke Terengganu selepas tempoh 20 tahun," ujarnya.

Jelasnya lagi, begitu juga dengan kesan daripada fenomena El Nino yang dialami buat masa ini ia tidak boleh dilihat dalam jangka masa yang singkat, tetapi selepas dua atau tiga tahun akan datang.

"Sebab itu setiap usaha dan mitigasi yang kita lakukan ini perlu berasaskan kepada dapatan sains yang tepat bagi memastikan kita melakukan sesuatu yang membuahkan hasil dan tidak hanya sia-sia.

"Petugas konservasi di lapangan juga perlu dipastikan sudah cukup terlatih dan kita tidak boleh hanya selesa dengan laporan bilangan telur yang dieramkan sahaja.

"Sewajarnya kita perlu lakukan semakan secara berkala di seluruh pusat konservasi bagi memastikan kualiti pengeraman sentiasa berada pada tahap yang tinggi," ujarnya.