Pejalan kaki maut dirempuh motosikal

No Image Caption
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang pejalan kaki maut selepas dirempuh sebuah motosikal dalam kejadian di Jalan Kurau, Taman Chai Leng di sini, hari ini.

Mangsa, Choo Poh Im, 61, meninggal dunia dipercayai akibat kecederaan parah di bahagian kepala dalam kejadian yang berlaku berhampiran kedai serbaneka 24 jam kira-kira jam 6.45 pagi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, mangsa dipercayai sedang melintas jalan sebelum dilanggar motosikal ditunggang seorang lelaki yang datang dari arah Taman Siakap, Seberang Jaya menuju ke Perai.

"Penunggang motosikal berusia 72 tahun itu tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa yang kemudian terpelanting ke atas jalan raya dan meninggal dunia di lokasi.

"Penunggang motosikal dan isterinya yang turut mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa yang berasal dari Tingkat Kurau 6, Taman Chai Leng dibawa ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

"Siasatan masih di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan: