Sanusi mohon maaf kepada Mahfuz

Sanusi (kiri) dan Mahfuz
Sanusi (kiri) dan Mahfuz
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membuat permohonan maaf kepada Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berhubung fitnah terhadap bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu, empat tahun lalu.

Permohonan maaf itu dibuat oleh Muhammad Sanusi menerusi laman Facebooknya pada Jumaat.

Menurut Muhammad Sanusi, kenyataan maaf itu dibuat berdasarkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 8 November 2021.

“Pada 30 Julai 2019, saya telah membuat satu hantaran di Facebook yang menyentuh isu perpindahan premis judi dari Alor Setar ke Pokok Sena.

“Saya menyatakan bahawa pemimpin Amanah dan Pakatan Harapan (PH) yang merupakan kerajaan ketika itu sudah pudar sensitivitinya kerana perpindahan premis berkenaan berlaku ke kawasan majoriti Islam di Kedah tanpa sebarang halangan.

“Sehingga isu tersebut ditimbulkan masyarakat setempat dan saya, empat bulan selepas kelulusan diberikan Kementerian Kewangan,” tulisnya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi memaklumkan berikutan saman fitnah difailkan Mahfuz berkaitan hantaran Facebook tersebut, Mahkamah Tinggi serta Mahkamah Rayuan pada 3 April lalu memutuskan bahawa hantaran tersebut itu merupakan satu fitnah terhadap Mahfuz.

Susulan daripada keputusan mahkamah itu, Muhammad Sanusi diperintahkan untuk membuat permohonan maaf.