X

Kindly register in order to view this article
!

LPT3 bawa limpahan ekonomi untuk rakyat Terengganu

Nasir (duduk, kanan) dan Mohd Fikri (duduk, kiri) menandatangani MoU, sambil diperhatikan Ahmad Samsuri (berdiri, dua kiri).
A
A

KUALA TERENGGANU - Jaringan perhubungan yang lebih baik hasil daripada pelaksanaan projek Lebuh raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) akan memberikan impak ekonomi yang lebih besar, khususnya dalam rangka pembangunan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, di Terengganu sendiri, banyak projek pembangunan yang terlepas sebelum ini atas faktor tidak ekonomik dan kekurangan tertentu seperti akses perhubungan.

Sedangkan katanya, Setiu dan Besut turut mempunyai kawasan industri yang boleh dimajukan jika ada pakej menarik yang boleh ditawarkan kepada pelabur.

“Sebab itu saya katakan LPT3 ini satu keperluan. Nampak pelik apabila lebuh raya terhenti di Gemuroh (Kuala Nerus) sahaja, sedangkan Terengganu ini secara khususnya sampai ke Besut.

“Tanpa laluan yang baik ini, kawasan industri tidak ada pakej yang menarik kepada pelabur. Tapi dengan pembinaan LPT3 ini, kita boleh nampak ia akan memberikan impak ekonomi yang pelbagai, bukan sekadar di kawasan industri sahaja tapi untuk laluan dan sebagainya.

“Akan ada aktiviti perniagaan, kawasan rehat dan rawat (R&R), paling penting limpahan aktiviti ekonomi kepada rakyat,” katanya.

Cadangan jajaran bagi LPT3 ialah dari Kampung Gemuroh, Kuala Nerus hingga ke Pengkalan Kubor, Kelantan, sepanjang 147 kilometer yang membabitkan tiga daerah di Terengganu dan lima daerah di Kelantan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Terengganu (PKMMT) Kali Ke-43 Tahun 2019 di Primula Beach Hotel, di sini semalam.

Turut hadir, Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia negeri Terengganu, Datuk Nasir Ibrahim Fikri dan Pengarah Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun, Sr Mohd Fikri Ismail

Pada majlis itu juga, Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia negeri Terengganu menandatangani perjanjian persefahaman bersama Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun.

Perjanjian tersebut melibatkan kolaborasi strategik dalam menjayakan pelbagai aktiviti, antaranya perkongsian maklumat dalam bidang yang dikenal pasti; program kajian, penyelidikan, inovasi dan penerbitan; aktiviti seminar, bengkel, simposium dan komuniti; program keusahawanan dan komersial serta program pembangunan staf dan pelajar.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus