Sukar rampas Kelantan, UMNO-PH fokus jadi pembangkang kuat

Akhbar (empat, kiri) bersama kepimpinan UMNO Kelantan yang hadir pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani Peringkat Parlimen Rantau Panjang pada Jumaat.
Akhbar (empat, kiri) bersama kepimpinan UMNO Kelantan yang hadir pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani Peringkat Parlimen Rantau Panjang pada Jumaat.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Kelantan fokus untuk menjadi pembangkang yang kuat selepas menyedari peluang mereka merampas negeri ini daripada Pas agak sukar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Setiausaha UMNO Kelantan, Datuk Akhbar Salim berkata, pembangkang yang kuat diperlukan bagi memainkan peranan semak dan imbang kepada corak pentadbiran negeri selepas pilihan raya nanti.

"Oleh itu BN dan PH akan menampilkan calon-calon terbaik pada PRN untuk menawarkan perkhidmatan berkualiti kepada rakyat.

"Walaupun tidak dapat menjadi kerajaan, namun kita (BN-PH) sedia memainkan peranan sebagai pembangkang yang kuat," katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani Peringkat Parlimen Rantau Panjang di sini pada Jumaat.

Menurut beliau, BN dan PH berharap rakyat dapat memberikan ruang kepada gabungan itu untuk membawa nafas baharu kepada pentadbiran negeri selepas PRN nanti.

Ujarnya, sokongan itu amat penting bagi memastikan lebih ramai wakil rakyat BN dan PH berada di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menjadi pembangkang yang kuat.

Dalam perkembangan lain, menurut Akhbar agihan kerusi antara BN dan PH untuk PRN Kelantan masih dalam rundingan.

Beliau memberitahu, parti itu sudah menyerahkan cadangan kepada pucuk pimpinan BN untuk dibincangkan dengan PH mengenai agihan tersebut.

"Semua proses itu berjalan lancar dan pihaknya sedang menunggu keputusan," katanya.