Strategi politik pembangkang dijangka ubah corak PRN

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

PENYERTAAN bekas pemimpin UMNO dalam parti pembangkang dijangka bakal merubah corak dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ini bukan lagi rahsia bahawa bekas beberapa pemimpin UMNO akan membuat 'comeback' melalui parti-parti lain selepas ada yang digantung keahlian dan dipecat.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa merupakan antara lebih 10 bekas pimpinan parti berkenaan yang sudah mengisi borang permohonan menganggotai Pas.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan pengumuman penerimaan keahlian tokoh-tokoh politik berkenaan dijangka dibuat penghujung bulan ini.

Takiyuddin turut memaklumkan kesemua bekas pimpinan UMNO terbabit akan dipertimbangkan untuk diberikan tempat sekiranya mereka menyatakan hasrat untuk bertanding pada PRN di enam negeri itu.

Selain daripada bekas Ahli Parlimen Ketereh itu, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar juga dilaporkan sudah ditawarkan memegang jawatan dalam Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Perkara itu dimaklumkan oleh Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Beliau berkata, keputusan berkenaan tawaran kepada bekas Ahli Parlimen Rembau itu sudah dibincangkan bersama pimpinan tertinggi Bersatu baru-baru ini.

Jelasnya, sekiranya Khairy menyertai Bersatu, maka beliau boleh membantu dari segi membina kekuatan parti berkenaan.

Sudah tentu tanda tanya seterusnya adalah, siapa lagi bekas pemimpin UMNO yang akan menyertai parti pembangkang, dan meneraju dalam PRN akan datang.

Pastinya strategi politik masing-masing akan semakin kelihatan dari masa ke semasa dan tentunya akan membawa perubahan dalam PRN yang dijangka akan berlangsung pada awal Ogos ini.