Empat 'budak ajaib' terselamat nahas pesawat

Empat kanak-kanak terselamat daripada impak kemalangan pesawat di Colombia. - Foto: Agensi
Empat kanak-kanak terselamat daripada impak kemalangan pesawat di Colombia. - Foto: Agensi
A
A
A

BOGOTA - Ia sememangnya satu kejadian ajaib!

Seramai empat kanak-kanak berusia 13, sembilan dan empat tahun serta seorang bayi berusia 11 bulan daripada komuniti Orang Asli Colombia ditemui masih hidup selepas lebih dua minggu pesawat dinaiki mereka terhempas di sebuah hutan tebal di tengah negara itu.

Berita menggembirakan itu diumumkan Presiden Gustavo Petro pada Rabu selepas kesemua mereka diselamatkan pasukan penyelamat yang menyertai operasi di wilayah Caqueta.

Media tempatan melaporkan pesawat Cessna 206 itu membawa tujuh penumpang ketika ia menghantar isyarat kecemasan kerana masalah kegagalan enjin ketika berada di kawasan antara Araracuara di wilayah Amazonas dan bandar San Jose del Guaviare.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang sukar itu akhirnya membuahkan hasil. Ia adalah satu khabar gembira buat negara," ujar Petro menerusi Twitter.

Difahamkan, tiga orang dewasa termasuk juruterbang terbunuh dalam nahas tersebut dan mayat kesemua mereka ditemui berada di dalam bangkai pesawat.

Keempat-empat kanak-kanak itu bagaimanapun terselamat daripada impak kemalangan tersebut.

Sementara itu, maklumat awal diperoleh pihak berkuasa penerbangan awam yang menyelaraskan operasi SAR itu memaklumkan kumpulan 'budak ajaib' itu dipercayai berjaya keluar dari badan pesawat dan cuba mencari bantuan.

Pasukan penyelamat yang dibantu anjing pengesan turut menjumpai sisa buah yang menjadi sumber makanan mereka untuk kekal bertahan sepanjang tempoh itu selain tempat berlindung sementara yang dihasilkan menggunakan tumbuh-tumbuhan di hutan berkenaan. - Agensi