Ancelotti puji City lebih bagus

Ancelotti (kanan) melihat jurulatih City, Pep Guardiola dan penyerang, Erling Haaland meraikan kemenangan The Citizens. - Foto AFP
Ancelotti (kanan) melihat jurulatih City, Pep Guardiola dan penyerang, Erling Haaland meraikan kemenangan The Citizens. - Foto AFP
A
A
A

CARLO Ancelotti mengangkat bendera putih dan mengakui Real Madrid ditewaskan skuad lebih baik apabila dibelasah 0-4 oleh Manchester City yang melengkapkan kekalahan agregat 1-5 pada aksi separuh akhir kedua Liga Juara-Juara awal pagi Khamis.

The Citizens yang ditewaskan Real pada peringkat sama musim lepas melunaskan dendam menerusi persembahan hebat di hadapan penyokong sendiri dengan ketangkasan penjaga gol Real, Thibaut Courtois mengelak kekalahan lebih besar pasukannya.

“Mereka beraksi lebih baik daripada kami dan berhak menang.

“Mereka mengasak dan menekan sejak awal sehingga kami sukar menguasai bola, membolehkan mereka berjaya mendahului dua gol.

“Selepas itu, sukar untuk kami kembali dalam perlawanan. Kami berusaha pada babak kedua tetapi tetap sukar,” ujar Ancelotti.

Ancelotti mengakui ia malam mengecewakan tetapi masih terlalu awal untuk menganalisa kekalahan.

“Kekalahan ini sangat melukakan tetapi ia boleh berlaku. Kami mara ke separuh akhir menentang lawan kuat. Mereka beraksi lebih bagus. Kami perlu belajar dan untuk musim depan, kami perlu melakukannya lebih baik,” katanya.

Setahun selepas meraih gelaran berganda dengan menjuarai La Liga dan Liga Juara-Juara serta muncul pengurus pertama meraih semua lima gelaran liga utama Eropah, Ancelotti kini hanya mampu menamatkan kempen dengan Piala Sepanyol dan Piala Dunia Kelab FIFA.