Kenaikan OPR bantu kawal inflasi, lebihan wang di pasaran

Keputusan BNM menaikkan OPR bukan dibuat sewenang-wenangnya sebaliknya ia melibatkan beberapa petunjuk ekonomi seperti kadar inflasi. (Gambar kecil: Mohd Faisol)
Keputusan BNM menaikkan OPR bukan dibuat sewenang-wenangnya sebaliknya ia melibatkan beberapa petunjuk ekonomi seperti kadar inflasi. (Gambar kecil: Mohd Faisol)
A
A
A

SHAH ALAM – Pakar ekonomi meminta orang ramai supaya tidak menyalahkan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kerana institusi itu bertanggungjawab dalam menguruskan sistem kewangan negara tanpa menyebelahi mana-mana pihak.

Menurut Pensyarah Perbankan dan Kewangan Islam, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim, keputusan menaikkan OPR bukan dibuat sewenang-wenangnya sebaliknya ia melibatkan beberapa petunjuk ekonomi seperti kadar inflasi.

“Saya berpandangan tindakan yang dilakukan oleh BNM adalah satu langkah tepat dalam membantu mengawal kadar inflasi negara dan lebihan wang di pasaran.

“Kenaikan itu dibuat untuk memastikan ekonomi Malaysia berada dalam keadaan mampan supaya masyarakat mampu menjalankan perniagaan, urusan jual beli dan pelbagai aktiviti lagi,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan BNM menafikan bertindak kejam kerana menaikkan kadar OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3.0 peratus, baru-baru ini.

Sebaliknya, Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus menegaskan keputusan tersebut dibuat bagi mengawal inflasi daripada terus melonjak, sekali gus akan memberi kesan kepada kuasa beli pengguna.

Dalam pada itu, Mohd Faisol menjelaskan rasional kenaikan OPR itu juga dapat dilihat menerusi kesan jangka masa panjang yang mana kuasa beli dalam kalangan pengguna akan kembali meningkat.

Tambah beliau lagi, kenaikan tersebut juga menyebabkan kos pinjaman dan pembiayaan bank menjadi semakin tinggi dan mengakibatkan masyarakat tidak boleh sewenang-wenangnya membuat pinjaman dan pembiayaan.

“Akhirnya mereka akan beralih kepada pelbagai bentuk simpanan termasuk membeli emas, menyimpan wang di bank dan sebagainya.

“Kenaikan OPR ini juga akan memberi lebih keuntungan kepada bank kerana asset institusi kewangan akan meningkat disebabkan pulangan terhadap pinjaman dan pembiayaan meningkat,” ujarnya.

Jelas Mohd Faisol, jika berlaku peningkatan dalam jumlah deposit bank oleh pelanggan, ia akan memberi keuntungan kepada institusi tersebut kerana keperluan ‘reserve bank’ dapat ditingkatkan dan jumlah aset dapat dikembangkan.