Amelia Henderson tak buru populariti

- FOTO INSTAGRAM AMELIA HENDERSON
- FOTO INSTAGRAM AMELIA HENDERSON
A
A
A

KELIBAT wanita cantik berdarah kacukan ini di kaca televisyen barangkali tidak asing lagi.

Mula melibatkan diri dalam dunia seni seawal usia 6 tahun, Amelia Thripura Henderson terlebih dahulu muncul dalam beberapa iklan komersial sebelum ke dunia lakonan.

Sejak setahun lalu, wanita berusia 24 tahun ini kembali aktif mewarnai pentas seni dan membintangi beberapa buah drama.

Biarpun sudah melibatkan diri dalam bidang lakonan semenjak kecil, namun pelakon utama Cinta Non Grata itu tidak melihat ia sebagai satu kelebihan.

“Saya tak kisah bermula dari bawah walaupun sudah mula berlakon sejak kecil. Bagi saya berlakon ketika kecil dan setelah dewasa adalah dua cabang yang berbeza.

“Atas faktor itu, saya terima watak sampingan untuk membuktikan bakat lakonan saya terlebih dahulu.

“Saya lebih suka orang mempercayai atau mengambil saya bekerja kerana percaya dengan kemampuan saya membawakan sesuatu watak, bukannya kerana saya sudah lama berada dalam industri,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada pelancaran kempen Rexona A Fresh Start, baru-baru ini.

Biarpun tidak kisah bermula dari bawah, Amelia memberitahu, dia tetap selektif dalam menerima tawaran lakonan dan lebih menyukai watak yang kuat.

Artikel Berkaitan:

“Buat masa ini saya sering bawa watak protagonis tetapi teringin juga untuk jayakan watak antagonis. Sejujurnya protagonis lebih menjadi pilihan kerana pada pandangan saya, watak itu ada perkembangan yang baik. Berbanding dengan watak antagonis, kadang-kala tidak jelas kenapa dia marah, benci atau memilih untuk menjadi jahat.

- FOTO INSTAGRAM AMELIA HENDERSON
- FOTO INSTAGRAM AMELIA HENDERSON

“Saya teringin juga untuk membawa watak aksi dan sentiasa mahu cuba sesuatu yang berbeza,” jelasnya.

Tidak hanya aktif di dalam bidang lakonan, Amelia juga menerima tawaran sebagai pengacara dan bakal tampil dengan single terbaharu tidak lama lagi.

“Saya akui jadual saya agak padat dengan penggambaran, pengacaraan dan turut merakamkan sebuah lagu.

“Sebab itu saya perlu selektif kerana jika asyik berlakon, saya tak akan ada masa untuk menjadi pengacara dan penyanyi.

“Saya buat semua ini kerana saya minat, bukan kerana nak kejar populariti. Sesiapa pun yang keluar TV akan dapat perhatian masyarakat tetapi itu bukan fokus utama saya.

“Bagi saya kalau kita tak mencuba buat apa yang kita suka sekarang, bila lagi kita dapat buat kerana peluang tidak datang banyak kali.

“Kalau boleh apabila usia saya mencecah 40 tahun, saya mahu memperlahankan karier atau mungkin bersara terus dari industri seni,” ujarnya yang pernah mendirikan rumah tangga dengan kerabat diraja negeri Kedah.

Dalam perkembangan lain, Amelia memberitahu dia akan membintangi sebuah filem dan bakal tampil dengan drama Voice Note.