Teknologi AI: Tiga syor kepada kerajaan

Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengemukakan tiga cadangan agar dipertimbangkan segera oleh kerajaan berkenaan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang berpotensi tinggi sebagai penyumbang ekonomi terbesar negara pada masa akan datang.

Beliau yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan berkata, antara syor itu adalah pembinaan garis panduan AI sesuai dengan budaya setempat, adab dan akhlak yang selari dengan neraca syarak.

Selain itu katanya, penggubalan undang-undang secara khusus yang terkait dengan AI sama ada isu hak cipta atau harta intelek dan Cyberjaya pernah dilihat sebagai satu tempat strategik pembangunan Lembah Silikon Malaysia.

"Berhubung syor pertama iaitu mewujudkan garis panduan yang sesuai. Di sini, peranan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) amat diperlukan sebagai panduan bagi para Mufti mendapat gambaran yang menyeluruh tentang hal ini dan bersedia dengan lebih awal dari sudut hukum-hakam.

"Bagi syor kedua pula, saya yakin Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) mempunyai kepakaran secukupnya untuk meneliti isu ini.

"Selanjutnya berkenaan Cyberjaya pernah dilihat sebagai satu tempat strategik pembangunan Lembah Silikon Malaysia dan saya berpandangan pembentukan Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) yang menggabungkan dua agensi di bawah Kementerian Sains, Teknlogi dan Inovasi (MOSTI) iaitu Technology Park Malaysia Corporation (TPM) dan Malaysian Global Innovation and Creativity Centre (MaGIC) berpotensi menyumbang kepada usaha memperkasa agenda pemangkin pengkomersialan teknologi negara terutamanya dalam AI," katanya melalui siri Al-Mawaqif yang dikongsikan menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Tambah Zulkifli, laporan kajian daripada salah sebuah universiti di luar negara yang diterbitkan pada 2016 juga mengesyorkan bahawa etika, kebersendirian dan keselamatan mestilah ditangani dengan baik untuk memastikan manfaat teknologi AI dapat disebarluaskan memandangkan ia mula terlibat dalam kehidupan manusia dalam pelbagai dimensi.

Peraturan yang disediakan juga katanya perlu memberi panduan kepada pembangun AI untuk menghormati hak manusia, kebajikan dan undang-undang.

Justeru katanya, terdapat beberapa perkara juga perlu diberikan penekanan sama ada pencapaian AI boleh memberi kesan dan mudarat yang besar kepada ummah sehingga merosakkan sistem kehidupan manusia yang bersifat bebas, teratur dan berakhlak.

"Dengan kemasukan AI ke dalam keluarga manusia sudah tentu akan memberi kesan kepada ekosistem dan fitrah kemanusiaan itu sendiri. Jadi, amat penting pertimbangan demi pertimbangan dengan penuh penelitian dibuat agar maslahah manusia benar-benar terbela, di samping mudaratnya dapat dihindarkan," katanya.