Raja libas, Adnan Saidin meninggal dunia

Allahyarham Adnan merupakan bekas ketua pasukan negara bermula 1980 hingga 1986.
Allahyarham Adnan merupakan bekas ketua pasukan negara bermula 1980 hingga 1986.
A
A
A

ALOR SETAR - Negara kehilangan permata sukan sepak takraw apabila raja libas tanah air, Adnan Saidin, 66, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyyah (HSB), Alor Setar, akibat masalah kesihatan pada pagi Isnin.

Perkara tersebut disahkan oleh anak ketiganya, Mohd Faizal Adnan yang juga bekas perejam negara, Kedah dan Negeri Sembilan melalui laman media sosial Facebooknya.

"Assalamualaikum untuk makluman bapa saya, Adnan Saidin baru sahaja menghembuskan nafas yang terakhir selepas subuh tadi, mohon sedekah al Fatihah pada arwah bapa saya.

"Semoga ALLAH ampunkan segala dosa dan terima amalannya, amin," katanya yang bekerja sebagai anggota polis.

Perkara sama turut disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner, Ahmad Shukri Mat Akhir.

Difahamkan pada Ahad, Allahyarham dikatakan mengalami pendarahan di dalam kepalanya.

Pada minggu lalu, Allahyarham telah dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta di Alor Setar akibat sakit jantung dan jangkitan kuman pada paru-paru.

Allahyarham Adnan sebelum ini telah dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta di Alor Setar akibat sakit jantung dan jangkitan kuman pada paru-paru.
Allahyarham Adnan sebelum ini telah dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta di Alor Setar akibat sakit jantung dan jangkitan kuman pada paru-paru.

Antara pencapaian terbaik Adnan bersama pasukan sepak takraw Malaysia adalah meraih pingat emas regu berpasukan Sukan SEA Jakarta 1979, Manila 1981 dan Singapura 1983 selain juara Kejohanan Asia 1980 di Kuala Lumpur serta Piala Raja Thailand 1985 di Bangkok.

Allahyarham merupakan bekas ketua pasukan negara bermula 1980 hingga 1986 dan bersama pasukan Kedah pula dari 1976 hingga 1992.

Bapa kepada enam anak ini terkenal dengan libas pari di posisi apit kiri juga pernah menjulang Piala Emas Khir Johari dalam Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan pada tahun 1981, 1985, 1986 dan 1987.

Pada zaman kegemilangannya, Adnan kerap bergandingan dalam regu negara dan Kedah bersama Shukri Ismail (apit kanan atau pengumpan) dan Azman Ismail (tekong).