Geng 36 cuba cetus pergaduhan ditahan

Senjata yang dirampas polis susulan tangkapan 10 individu
Senjata yang dirampas polis susulan tangkapan 10 individu
A
A
A

JEMPOL - Cubaan ahli kumpulan kongsi gelap ‘Geng 36' melakukan pergaduhan dan jenayah di Bahau di sini gagal apabila berjaya dikesan polis pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, 10 lelaki berusia antara 19 hingga 43 tahun ahli kumpulan itu berjaya ditahan polis dari Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol.

"Pemeriksaan selanjutnya terhadap kumpulan yang ditahan telah menjumpai senjata parang, senjata tajam yang telah diubah suai dan lain-lain senjata yang disimpan serta disembunyikan berhampiran tempat kejadian.

"Polis mempercayai individu yang ditangkap membuat persediaan untuk melakukan pergaduhan dan melakukan jenayah di kawasan tempat kejadian," katanya dalam kenyataan kepada media pada Jumaat.

Menurutnya, siasatan juga mendapati, kesemua yang ditahan merupakan ahli kumpulan kongsi gelap ‘Geng 36’.

Tambah beliau, polis telah mengenal pasti dan membuat pengesahan terhadap kumpulan tersebut berdasarkan kepada tanda tatu di bahagian badan dan gambar simbol ‘36’ di dalam kesemua telefon suspek.

"Polis telah membuka dua kertas siasatan berkaitan tangkapan kumpulan ini.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 144 Kanun Keseksaan iaitu memiliki senjata senjata maut dalam perhimpunan yang menyalahi undang-undang dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 iaitu memiliki senjata berbahaya di tempat awam," katanya.

Ujarnya, siasatan turut dibuat di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 iaitu seseorang yang menganggotai suatu pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Kata Hoo Chang Hook, kesemua individu tersebut telah direman empat hari bermula Rabu.