Belum masa bincang harga tiket ECRL - Anthony

Anthony (dua, kanan) bersama Anwar pada Majlis Pelancaran Pembinaan Stesen Pertama ECRL di Tunjong, Kota Bharu pada Jumaat.
Anthony (dua, kanan) bersama Anwar pada Majlis Pelancaran Pembinaan Stesen Pertama ECRL di Tunjong, Kota Bharu pada Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Pengangkutan menegaskan belum tiba masanya untuk membincangkan isu tiket perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kerana projek tersebut masih berjalan dan belum siap sepenuhnya.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau yakin kerajaan akan menetapkan kadar tambang yang berpatutan kepada rakyat.

"Buat masa ini kita masih belum tetapkan harga. Ini merupakan projek kerajaan untuk rakyat.

"Jadi perlu ia turut mempunyai konsep Rahmah, iaitu berpatutan dan mampu dibayar oleh rakyat," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Pembinaan Stesen Pertama ECRL di Tunjong, di sini pada Jumaat.

Perasmian majlis tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam perkembangan lain, Anthony memberitahu, pihaknya yakin ECRL akan siap ikut jadual yang ditetapkan.

Menurut beliau, hal ini diberikan perhatian penting oleh Kerajaan Malaysia dan pemerintah China.

"Pengurusan projek diletakkan di bawah Malaysia Rail Link (MRL) yang akan memantau dengan rapi perkembangannya.

"Pihak kontraktor bertanggungjawab adalah China Communications Construction Company Ltd (CCCC) yang merupakan sebuah syarikat berwibawa dari negara China," ujarnya.

Beliau yakin, perkembangan projek ini turut dibincangkan semasa pertemuan antara Perdana Menteri dengan kerajaan China.

"Jadi saya yakin pihak kontraktor juga akan memastikan projek ECRL ini disiapkan mengikut jadual," katanya.