2,000 permohonan jururawat kontrak diserap secara tetap - KKM

Lukanisman (dua dari kanan) memotong riben sebagai simbolik perasmian Hari Jururawat Antarabangsa 2023 di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Setia Alam di sini pada Jumaat.
Lukanisman (dua dari kanan) memotong riben sebagai simbolik perasmian Hari Jururawat Antarabangsa 2023 di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Setia Alam di sini pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan (KKM) mengemukakan sebanyak 2,000 permohonan jururawat lantikan kontrak di seluruh negara untuk diserap ke jawatan tetap tahun ini.

Timbalan Menterinya, Lukanisman Awang Sauni berkata, permohonan itu diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk proses kelulusan.

Menurut beliau, wujud keperluan bagi menambah jumlah jururawat sedia ada yang ketika ini mencecah sehingga 165,000 kakitangan.

"Keadaan ini mengambil kira faktor pembinaan banyak fasiliti kesihatan baharu termasuk di kawasan pedalaman," katanya selepas merasmikan Hari Jururawat Antarabangsa 2023 di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Setia Alam, di sini pada Jumaat.

Bagaimanapun, Lukanisman menjelaskan, permohonan penjawatan tetap itu bergantung sepenuhnya kepada keputusan dan jawapan JPA.

Ujar beliau, KKM turut mempertimbangkan jururawat kontrak diserap secara berfasa sekiranya rayuan penambahan itu diluluskan.

"Kita sememangnya sedang melakukan proses pemetaan bagi mengoptimumkan khidmat kakitangan sama ada doktor, jururawat dan pegawai perubatan.

"Tugas jururawat sememangnya perlu penambahbaikan berterusan termasuk melibatkan isu penjawatan selepas pandemik Covid-19," tambahnya.

September tahun lalu, media melaporkan seramai 1,136 Jururawat Gred U29 Kontrak dari Institut Latihan KKM dan 2,804 jururawat swasta yang dilantik secara kontrak bagi menyokong perkhidmatan kesihatan terutama ketika pandemik Covid-19 akan diserap ke jawatan tetap.

Pelantikan tetap bagi menambah baik jaminan kerjaya kakitangan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan itu akan dibuat secara berfasa dalam tempoh suku keempat tahun lalu dan suku pertama tahun ini.