Gatti penyelamat Juventus

Gatti menyumbat gol penyamaan ketika membantu Juventus mengikat Sevilla 1-1 awal pagi Jumaat. - Foto EPA
Gatti menyumbat gol penyamaan ketika membantu Juventus mengikat Sevilla 1-1 awal pagi Jumaat. - Foto EPA
A
A
A

PEMAIN sensasi, Federico Gatti menjadi penyelamat apabila meledak gol penyamaan ketika membantu Juventus mengikat Sevilla 1-1 pada aksi separuh akhir pertama Liga Europa awal pagi Jumaat.

Pada aksi di Turin itu, pemain antarabangsa Maghribi, Youssef En-Nesyri meletakkan Sevilla di depan pada minit ke-26, Gatti menyamakan kedudukan menerusi tandukan pada minit ke-97.

Jurulatih Sevilla, Jose Luis Mendilibar meluahkan rasa tidak puas hati dengan keputusan tersebut kerana menganggap para pemainnya beraksi baik dan berpeluang untuk menang, namun dinafikan gol penyamaan pasukan lawan.

“Keputusan ini agak memalukan jika mengambil kira prestasi para pemain. Mereka menyamakan kedudukan di hujung perlawanan, tetapi itulah yang berlaku.

“Kami menafikan setiap cubaan Juventus dan beraksi konsisten sepanjang masa.

“Kami perlu melihat kepada perkara itu, bukan kepada apa yang berlaku di hujung perlawanan,” ujar Mendilibar.

Sevilla, juara enam kali yang menyingkirkan Manchester United pada aksi suku akhir, tidak pernah tersingkir di peringkat separuh akhir dalam kejohanan itu.

Kelab Sepanyol itu, yang memenangi Liga Europa di Juventus pada 2014, seolah-olah beraksi di laman sendiri apabila menguasai perlawanan pada babak pertama.

Dalam pada itu jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri mengakui lega apabila barisan pemainnya meraih keputusan seri.

“Kami mempamer aksi terbaik untuk bangkit semula dan berhak memperoleh keputusan seri yang mana peluang kedua-dua pasukan lebih seimbang pada aksi timbal balik nanti,” katanya.