Ajal ketika hantar anak ke tadika

Seorang bapa maut selepas terbabit dalam nahas dengan sebuah kereta di Tanjung Malim pada Khamis. - Foto ihsan pembaca
Seorang bapa maut selepas terbabit dalam nahas dengan sebuah kereta di Tanjung Malim pada Khamis. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

TANJUNG MALIM - Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang bersama anak perempuannya terbabit dalam nahas dengan sebuah kereta di Kilometer 122, Jalan Ipoh - Kuala Lumpur, di sini pada Khamis.

Mangsa, Muhammad Asri Shahrul Nizam, 26, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala anak perempuannya berusia enam tahun luka di tangan dan kaki.

Difahamkan mangsa dalam perjalanan untuk menghantar anaknya itu ke tadika Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) berhampiran.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, laporan awal nahas diterima sekitar jam 7.12 pagi melibatkan sebuah motosikal jenis Suzuki dan kereta Proton Persona yang dipandu guru wanita berusia 44 tahun.

"Siasatan awal mendapati kereta dipandu wanita dalam perjalanan menuju ke Slim River.

"Sampai di lokasi semasa kereta terbabit hendak mengubah haluan dari kiri ke lorong kanan tiba-tiba motosikal ditunggang mangsa dari arah Tanjung Malim telah melanggar bahagian belakang kanan kereta terbabit," katanya.

Menurut beliau, akibat pelanggaran itu, mangsa bersama anak perempuannya terjatuh atas jalan raya.

"Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Slim River untuk dibedah siasat manakala anaknya yang mengalami luka di kedua-dua tangan dan kaki kiri mendapatkan rawatan di hospital sama.

"Pemandu kereta pula tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.