Trump bersalah lakukan penderaan seksual

Carroll (kiri) dan Donald Trump. - Foto AFP
Carroll (kiri) dan Donald Trump. - Foto AFP
A
A
A

NEW YORK - Juri New York mengarahkan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump membayar ganti rugi sebanyak AS$5 juta (RM22.2 juta) selepas didapati bertanggungjawab melakukan penderaan seksual dan memfitnah bekas penulis majalah, E Jean Carroll.

Seramai sembilan juri menolak tuduhan kes rogol oleh Carroll, tetapi sebulat suara mengekalkan aduannya yang lain dalam perbicaraan sivil yang dipantau rapi.

Keputusan itu menandakan kali pertama Trump berdepan tindakan undang-undang berhubung siri dakwaan serangan seksual sejak beberapa dekad lalu yang mana bekas pemimpin itu menolak keputusan ini sebagai 'memalukan'.

Tahun lepas, Carroll menyaman Trump dan mendakwa dia dirogol di bilik persalinan kedai mewah di Bergdorf Goodman di Fifth Avenue Manhattan pada 1996.

Bekas penulis majalah Elle itu juga mendakwa bilionair hartanah itu memfitnahnya dengan menggelarkannya 'penipu' selepas dia mendedahkan dakwaan itu pada 2019.

Trump, 76, pendahulu untuk pencalonan Parti Republikan dalam Pilihan Raya Presiden tahun hadapan, menyifatkan kesnya sebagai tuduhan 'palsu' dan 'pembohongan'.

Juri memutuskan bahawa Carroll telah membuktikan penderaan seksual tanpa kerelaan dengan memberikan lebih banyak bukti serta menganugerahkannya AS$2 juta (RM8.9 juta) kepadanya.

Juri terdiri daripada enam lelaki dan tiga wanita juga berkata, Trump harus membayar Carroll hampir AS$3 juta (RM13.3 juta) kerana memfitnahnya.

Sebelum ini, puluhan wanita menuduh Trump melakukan salah laku seksual menjelang pilihan raya 2016, namun beliau tetap berjaya menjadi Presiden AS - AFP