[VIDEO] 60 peratus bekas tentera pilih jadi usahawan - Adly
SEREMBAN - Kira-kira 60 peratus bekas anggota tentera yang telah menamatkan perkhidmatan memilih bidang keusahawanan sebagai kerjaya kedua mereka.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, bagaimanapun kementerian sentiasa menyusun peluang pekerjaan lain bagi memastikan kehidupan mereka lebih terjamin selepas bersara.
"Walaupun kita tahu hampir 60 peratus veteran berminat dalam bidang keusahawanan, tapi bidang pekerjaan lain juga adalah satu peluang yang dapat beri mereka kehidupan lebih baik.
"Kedua-duanya kita bagi peluang kepada veteran dan terpulang kepada mereka untuk menentukan masa depan, yang penting mereka mesti ada pendapatan selepas bersara dalam usia 40 tahun," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat veteran tentera, Zakaria Manaf, 70, yang kini menghidap strok dan isterinya Asiah Baharom, 68, yang menghidap sakit saraf di rumah mereka di Taman Desa Rhu di sini pada Selasa.
Menurut Adly, pihaknya akan menyusun semula peluang pekerjaan di dalam Kementerian Pertahanan sendiri sama ada dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat-syarikat swasta yang berkaitan dengan kementerian itu.
Ini kerana katanya, secara purata hampir 5,000 tentera yang tamat perkhidmatan setiap tahun.
"Sebab itu sekarang peluang pekerjaan yang kita lihat untuk veteran bukan saja melibatkan bidang keusahawanan tetapi juga industri dan dalam kapasiti Kementerian Pertahanan itu sendiri," katanya.
Selain itu katanya, kementerian melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) telah meluluskan 147 permohonan baik pulih rumah dan 40 bina rumah baharu tahun ini.
Jelas Adly, keutamaan akan diberi kepada golongan B40 dan permohonan yang diterima setiap tahun adalah meningkat.
Sementara itu katanya, berdasarkan data veteran ATM yang telah berdaftar dengan JHEV ATM sehingga 31 Mac lalu, sebanyak 108,589 veteran berpencen, 70,188 veteran tidak berpencen dengan jumlah keseluruhan 178,777 veteran.