Wanita rogol lelaki? Pengarah Nur beri penjelasan

No Image Caption
A
A
A

DRAMA Nur 2 sudah pun melabuhkan tirainya Khamis lalu.

Namun perbualan atau topik mengenai drama itu bagai belum berakhir.

Terbaharu, babak akhir yang memperlihatkan Ustaz Adam lakonan Syafiq Kyle membuatkan laporan di rogol Juita (lakonan Azar Azmi) sehingga menyebabkan Juita ditangkap menjadi perhatian ramai termasuk seorang peguam yang dikenali dengan nama Nor Zabetha.

Mengakui khilafnya kerana tidak peka dengan klausa undang-undang melibatkan tuduhan rogol terhadap wanita, pengarahnya, Shahrulezad Mohameddin, menerima teguran itu dengan hati terbuka.

"Terima kasih kepada peguam, Zabetha yang memberi komen terhadap scene Adam membuat laporan polis mengatakan dia dirogol dan scene polis menahan Juita atas tuduhan merogol.

"Ya, betul kalau mengikut klausa undang undang Malaysia tidak ada istilah perempuan merogol lelaki. Tak pernah dalam sejarah perundangan Malaysia seorang wanita dituduh merogol.

"Pada pandangan saya, tidak salah Adam membuat laporan merasakan dirinya dirogol. Tapi yang salah apabila menulis skrip polis menahan Juita atas tuduhan merogol.

"Itu saya akui silap saya. Sepatutnya saya tulis Juita ditahan atas tuduhan gangguan seksual dan membuat tuduhan palsu," tulisnya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun Shahrulezad beranggapan ia adalah satu isu yang mungkin boleh diberi perhatian selepas ini.

Apatah lagi sejak kebelakangan ini, sudah banyak berita lelaki dirogol di luar negara.

"Undang-undang merogol yang dicipta mungkin tidak relevan pada masa kini kerana hukumannya berat sebelah hanya pada lelaki sahaja.

"Tiada istilah perogol untuk wanita, sedangkan telah mula ramai wanita yang berperangai seperti Juita dewasa ini.

"Mereka sanggup melakukan apa sahaja demi nafsu. Cuba cari di Google, kejadian yang berlaku di Afrika, India.

"Cuma undang-undang di Malaysia sahaja yang masih memberi kelebihan melepaskan wanita daripada tuduhan begitu.

"Di era hak kesamaan gender seperti ini sepatutnya undang-undang sebegini di gubal. Bagi saya kalau lelaki boleh disabitkan dakwaan merogol, wanita juga sepatutnya boleh disabitkan dakwaan sama," ujarnya berkongsi pendapat.

Tidak berakhir di situ, Shahrulezad turut menyelit dua kali perkataan drama Nur 3 dan seolah-olah memberi bayangan untuk menyambung drama itu ke siri ketiga pula.

"Mungkin Adam lelaki pertama di Malaysia atau di rantau ini yang mencabar undang-undang berat sebelah itu di dalam Nur 3 nanti apabila Juita terlepas dari hukuman?

"Adam cuma mahu keadilan bagi dirinya yg menjadi mangsa kerakusan wanita seperti Juita.

"Atau mungkin juga Juita boleh saja menjadi wanita pertama di Malaysia ditahan atas tuduhan merogol sekiranya Adam berjaya mencabar undang undang sedia ada.

"Itu mungkin dalam Nur 3. Saya kata mungkin ya. Jangan nak berangan, penat tak habis lagi," katanya yang mendapat reaksi pelbagai apabila menyentuh mengenai Nur 3.

Sebelum ini, seorang peguam telah menegur babak akhir dalam drama Nur 2 yang disifatkan tidak berlaku dalam sejarah perundangan Malaysia apabila seorang wanita di tahan atas tuduhan rogol.