JKA pantau salah laku warga SPRM

Gambar hiasan. (Gambar kecil: Asariah)
Gambar hiasan. (Gambar kecil: Asariah)
A
A
A

PUTRAJAYA – Setiap aduan salah laku membabitkan warga kerja Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diterima oleh Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme (BCP) selaku unit integriti akan dipantau Jawatankuasa Aduan (JKA) SPRM secara berkala setiap tiga bulan.

Pengerusi JKA SPRM, Datuk (Dr) Asariah Mior Shaharuddin berkata, JKA adalah salah satu daripada lima badan pemantau bebas yang dilantik melalui Akta SPRM 2009 dan berperanan sebagai mekanisme semak dan imbang dalam memantau pengendalian oleh Suruhanjaya ke atas aduan mengenai salah laku tidak bersifat jenayah terhadap pegawai-pegawai Suruhanjaya.

Beliau berkata, sebagai langkah tambahan dalam memperkasakan integriti, SPRM telah menubuhkan Cawangan Hal Ehwal Dalaman (CED) di bawah BCP pada Jun tahun lepas untuk menyiasat kes-kes jenayah rasuah pegawai SPRM di bawah Akta SPRM 2009.

Menurutnya, SPRM harus dilihat bersih dan mempunyai anggota yang mempunyai integriti tinggi dan tidak berkompromi dengan sebarang salah laku.

Beliau juga berpendapat badan pencegah rasuah itu telah menjalankan peranannya bagi memupuk sifat integriti dan tatakelola yang baik dalam diri setiap anggotanya.

Selain itu, SPRM juga telah mewujudkan Unit Agama dan Kaunseling yang merupakan satu langkah yang baik bagi memberi sokongan kepada anggotanya dari segi moral untuk melaksanakan tugas.

"SPRM juga menunjukkan keseriusan dalam memastikan SPRM bebas dari dadah dan bahan terlarang seperti ketum melalui Arahan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan sebarang pelanggaran boleh dikenakan hukuman tatatertib termasuk buang kerja," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata, bagi pengambilan pegawai-pegawai baharu SPRM, pihaknya telah melaksanakan tapisan yang ketat termasuklah ujian ‘urine test’ dan mengesan penipuan melalui ujian ‘poligraf’ bagi memastikan mereka yang benar-benar mempunyai potensi dan berintegriti dipilih untuk menyertai SPRM.

Sementara itu, bagi tempoh dari tahun 2020 sehingga 2022, SPRM telah mengambil tindakan tatatertib ke atas 23 pegawai yang didapati terlibat dalam kes salah laku, cuai, tidak hadir bertugas dan terlibat dengan aktiviti yang tidak sesuai dengan etika SPRM.

Asariah berkata, daripada jumlah berkenaan, 10 daripadanya dibuang kerja dan majoriti yang dikenakan tindakan tatatertib merupakan anggota baharu SPRM yang berkhidmat di bawah tujuh tahun.

Menurutnya, walaupun jumlah yang dibuang kerja adalah kecil dan tidak membimbangkan, iaitu 0.3 peratus daripada jumlah keseluruhan anggota SPRM seramai 2,800 orang, namun ia tidak harus dipandang ringan kerana masyarakat menaruh harapan yang tinggi terhadap SPRM. - Bernama