RUU Ombudsman dibentang Oktober depan

Azalina
Azalina
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Ombudsman Malaysia 2023 di Parlimen, Oktober depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Said berkata, RUU Ombudsman kini berada di peringkat akhir untuk dimuktamadkan.

"Ia akan dibawa untuk mendapatkan pertimbangan dan kelulusan jemaah menteri dalam masa terdekat," katanya menerusi sidang akhbar di sini pada Isnin.

Azalina berkata, kerajaan turut mengadakan sesi taklimat dengan semua ahli Parlimen pada sidang Parlimen akan datang dalam mendapatkan input dan pandangan sebagai usaha penglibatan yang bermakna ke arah memuktamadkan RUU tersebut pada kadar segera.

Jelasnya, penubuhan Ombudsman Malaysia penting ke arah memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam lebih cekap dan efektif serta kerajaan lebih responsif dan adil terhadap rakyat.

Ombudsman Malaysia juga katanya, akan bertindak sebagai badan bebas yang mengendalikan pelbagai aduan salah laku dan urus tadbir (maladministration) terhadap jabatan atau agensi kerajaan.

"Apabila kita bercakap mengenai kerajaan yang bertanggungjawab, salah satu elemennya ialah aduan mesti dibenarkan," ujar beliau.

Azalina berkata, RUU itu selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu sebuah badan bebas untuk mengendalikan aduan rakyat terhadap agensi dan kerajaan.

"Ombudsman Malaysia akan mengamalkan konsep tidak memihak (impartial) dalam menguruskan aduan yang disalurkan oleh orang awam terhadap sistem penyampaian perkhidmatan awam," katanya.

Menurut Azalina, lantikan anggota Ombudsman akan dibuat secara terus selama enam tahun dan tidak dilanjutkan.

"Lantikan ini juga diasingkan persaraan," katanya.

Sebelum ini, cadangan penubuhan Ombudsman Malaysia dibuat pada tahun 2018 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamed bagi menggantikan Biro Pengaduan Awam (BPA).

Ombudsman merupakan satu konsep yang diterima pakai dan diiktiraf di peringkat antarabangsa dan 115 daripada 195 negara di dunia mempunyai institusi Ombudsman.

Tambah Azalina, BPA menerima 20,000 aduan 'first tier' iaitu 85 peratus membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Sekarang rakyat boleh membuat aduan terus kepada jabatan atau agensi kerajaan tetapi masalahnya kadang kala ia memakan masa, tiada respons dan sebagainya.

"Dengan adanya Ombudsman Malaysia, mereka tahu ke mana hendak dituju sekiranya untuk membuat aduan," katanya.