Wartawan Iran dipenjara terima Hadiah Kebebasan Akhbar UNESCO

Gambar hiasan - Foto123RF
Gambar hiasan - Foto123RF
A
A
A

NEW YORK - Tiga wartawan wanita terkemuka Iran yang kini dipenjara di negara itu, dinobatkan sebagai penerima Hadiah Kebebasan Akhbar Dunia UNESCO/Guillermo Cano 2023, lapor Agensi Berita dpa.

Niloofar Hamedi, Elaheh Mohammadi dan Narges Mohammadi menerima anugerah pada Selasa, tanpa hadir.

"Kami komited untuk menghormati tindakan berani wartawan wanita Iran yang laporannya membawa kepada revolusi sejarah yang dipimpin oleh wanita.

"Mereka membayar harga yang tinggi atas komitmen mereka untuk melaporkan dan menyampaikan kebenaran. Dan untuk itu, kami komited untuk menghormati mereka dan memastikan suara mereka akan terus bergema di seluruh dunia sehingga mereka selamat dan bebas," kata ketua juri Zainab Salbi.

Menurut Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Narges seorang aktivis hak asasi manusia terkenal di Iran yang menulis untuk pelbagai organisasi media, kini menjalani hukuman penjara 16 tahun di penjara Evin di Tehran.

Elaheh dan Niloofar menjadi terkenal di peringkat antarabangsa hasil laporan mengenai kematian wanita Iran-Kurdish, Mahsa Amini, semasa dalam tahanan polis kerana didakwa melanggar kod pakaian. Kematiannya pada September mencetuskan protes paling buruk di negara ini dalam tempoh beberapa dekad.

Hamedi ditahan sejurus selepas menulis mengenai kematian Mahsa manakala Elaheh ditahan selepas melapor berita mengenai pengebumian wanita Kurdish itu.

Kedua-duanya ditahan di penjara Evin. - Bernama