Kahwin muda cabul hak asasi kanak-kanak

Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal. - Foto Asril Aswandi Shukor
A
A

PERKAHWINAN muda yang berlaku di negara ini merupakan pencabulan hak asasi kanak-kanak.

Profesor Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, ibu bapa yang memaksa anak mereka berkahwin pada usia muda telah menafikan pelbagai hak yang sepatutnya diterima oleh kanak-kanak tersebut.

"Bagi saya, perkahwinan usia muda adalah pencabulan hak asasi kanak-kanak, terutamanya kanak-kanak perempuan. Mereka sepatutnya diberikan hak sama rata untuk belajar dan mendapat sekurang-kurangnya SPM.

"Jika tidak, mereka telah dinafikan hak pendidikan dan tidak dapat membangunkan diri dan mengubah kehidupan keluarganya. Ini yang ramai orang tak nampak," katanya dalam Wacana Sinar Harian ke - 79 Kanak-Kanak Dalam Jerangkap Sosial: Di Mana Kita?, semalam.

Wacana kali ini turut menampilkan Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar Alumni Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Prof Datuk Dr Mohamad Fadzil Che Din; Profesor Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal dan dikendalikan personaliti, Amin Idris selaku moderator.

Noor Aziah berkata, ramai ibu bapa yang menyokong kahwin bawah umur ini kerana untuk mengelakkan anak-anak ini terjerumus dalam kancah sosial seperti penzinaan.

Namun, mereka tidak sedar apa peranan mereka sendiri sehingga anak-anak terjerumus dalam kancah maksiat dan sebagainya. Tanya diri ibu bapa itu sendiri apa mereka lakukan untuk memastikan anak-anak mereka tidak terpesong jauh.

Itu cara yang lebih relevan berbanding mengahwinkan anak.

Malah, ada dapatan menunjukkan ibu bapa yang mengahwinkan anak mereka kerana masalah kemiskinan. Kenapa perkara sebegini boleh berlaku?

Majlis Fatwa Kebangsaan juga telah membincangkan mengenai perkahwinan kanak-kanak, dan membolehkan sesuatu perkahwinan itu terjadi apabila mempunyai alasan kukuh, tidak memudaratkan dan mempunyai kepentingan kepada kanak-kanak itu sendiri.

Lebih menambah kekesalan saya ialah ada permohonan berkahwin kanak-kanak berusia 14 tahun sedangkan pada usia tersebut kanak-kanak itu masih muda.

Dari segi peruntukan, syarat perkahwinan kanak-kanak untuk orang bukan Islam ialah 16 tahun genap untuk perempuan dan 18 tahun genap untuk lelaki. Jika kahwin bawah daripada umur tu tetap berlaku, maka perkahwinan tidak sah.

Jika mengadakan hubungan seksual dengan kanak-kanak perempuan bawah 16 tahun itu adalah rogol mandatori dan boleh diambil tindakan undang-undang.

Untuk orang Islam juga umurnya sama tetapi, kalau nak kahwin kena mohon Mahkamah Syariah.

"Namun, apa yang saya nak tekankan adalah mengenai kahwin bawah umur yang akan memberikan implikasi besar kepada kanak-kanak kerana dari sudut kesihatan, kanak-kanak pada usia 17 tahun baru matang sedikit, selain ada kanak-kanak yang kahwin muda ini meninggal ketika melahirkan anak.

Kadar penceraian juga tinggi untuk pasangan yang berkahwin muda. Makna kata, kahwin muda cerai pun muda. Ini yang kita perlu teliti sebelum membenarkan perkahwinan kanak-kanak itu terjadi.

"Sebab itu, saya menyokong umur untuk berkahwin di negara ini dinaikkan untuk memastikan hak anak-anak ini terpelihara, selain saya juga merasakan pada usia muda begini, anak-anak masih perlu diawasi dan mendapat bimbingan ibu bapa," katanya.

Hak kanak-kanak dilindungi

Noor Aziah berkata, hak kanak-kanak di negara ini juga dilindungi dengan empat asas melalui Konvensyen Hak Kanak-Kanak Antarabangsa iaitu hak untuk hidup membangun, hak untuk didengar, hak untuk kepentingan anak dan perlindungan kanak-kanak.

"Kalau dilihat kepada empat komponen itu, kanak-kanak ini dah ada hak tersendiri. Dari sudut Islam pula, kita tengok hak seorang anak, hak anak itu dipertanggungjawabkan kepada bapa untuk sediakan pakaian, makanan dan sebagainya," katanya.

Menurutnya, kanak-kanak bawah 18 tahun di negara ini dipelihara dari sudut undang-undang.

Kalau ditangkap pun tidak boleh digari, kena bawa ke balai cepat, kena maklum kepada ibu bapa atau penjaga dan juga kepada pegawai pelindung.

Malah, dalam akta kanak-kanak, kalau pergi mahkamah dalam van kena asingkan daripada pesalah dewasa, kemudian kalau pesalah wanita kena ada pegawai wanita yang iring.

"Di mahkamah pun tidak boleh bercampur dengan pesalah dewasa. Kalau nak minta reman pun kena minta segera. Dia juga tidak boleh ditahan dalam lokap atau penjara dicampur dengan pesalah dewasa.

"Nak menjatuhkan hukum pun, prosesnya amat panjang. Hukuman penjara itu pun adalah pilihan terakhir untuk dijatuhkan kepada kanak-kanak. Kita juga tidak panggil mereka pesalah juvana, tetapi pesalah kanak-kanak, selain mereka tiada rekod jenayah. Senang kata hak mereka dilindungi," katanya.