Pasaran kordial barli janjikan prospek cerah

Tuan Muhammad Naeman Umny menunjukkan barli yang siap diproses menjadi kordial.
Tuan Muhammad Naeman Umny menunjukkan barli yang siap diproses menjadi kordial.
A
A
A

KOTA BHARU - Perusahaan memproses bijirin barli atau nama botaninya Hordeum Vulgarie kepada kordial amat berpotensi dalam industri makanan di negara ini.

Usahawan muda berasal dari Melor, Tuan Muhammad Naeman Umny Tuan Zamany, 23, antara belia yang bijak merebut peluang terhidang dalam Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) itu sejak tahun 2016.

Menurutnya, ia dapat membekalkan sebanyak 600 botol kordial barli dengan setiap satunya seberat dua kilogram dan sekilogram di beberapa kedai makan, borong dan sejuk beku. Ia dipasarkan ke tiga negeri di Pantai Timur pada setiap bulan.

“Keseluruhan tempoh masa yang diperlukan adalah selama sembilan jam bagi memproses sejumlah 30 kilogram (kg) barli pada setiap minggu.

“Langkah itu merangkumi proses mencuci biji-biji barli sebanyak enam kali atau hingga bersih, merebus dan dibotolkan sebelum dihantar ke kedai-kedai di sekitar Kelantan, Terengganu serta Pahang termasuk Cameron Highlands,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Bijirin barli berkualiti tinggi dipilih bagi memastikan hasil kordial yang memuaskan. Proses merebus bijirin barli yang memakan tempoh selama sembilan jam.
Bijirin barli berkualiti tinggi dipilih bagi memastikan hasil kordial yang memuaskan. Proses merebus bijirin barli yang memakan tempoh selama sembilan jam.

Lelaki masih bujang itu turut menetapkan sasaran jualan sebanyak 2,000 botol kordial barli setiap bulan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Hasrat saya mahu menaik taraf tempat pemprosesan daripada dilakukan di dapur mini di rumah kepada sebuah kilang. Menghasilkan produk baharu seperti jus barli, lebih banyak kordial dan jus lain misalnya durian belanda, longan dan asam asin.

“Saya juga akan menggaji pekerja untuk meningkatkan lagi jumlah pengeluaran produk PKS ini sekali gus dapat menampung permintaan tinggi daripada pelanggan,” katanya.

Tuan Muhammad Naeman Umny sentiasa melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa termasuk menggunakan mesin khas berkapasiti 300 liter untuk memproses barli berbanding kaedah memasak menggunakan periuk biasa sebelum ini.

“Selain melebarkan sayap perniagaan ke lebih banyak negeri dalam Malaysia, saya juga mahu menembusi pasaran antarabangsa seperti Brunei dan Indonesia.

“Pelbagai cabaran ditempuhi terutama dalam isu pengangkutan namun perniagaan ini tetap diteruskan dengan turut melibatkan kaedah jualan secara dalam talian,” katanya.

Kordial barli yang baik bukan setakat sedap diminum tetapi berkhasiat. Barli yang dikacau dan dimasak dalam mesin khas selama sembilan jam.
Kordial barli yang baik bukan setakat sedap diminum tetapi berkhasiat. Barli yang dikacau dan dimasak dalam mesin khas selama sembilan jam.

Barli adalah sumber terbaik serat pemakanan, protein dan karbohidrat kompleks serta vitamin dan galian.

Bijirin itu kaya dengan khasiat seperti fiber, vitamin dan mineral penting (Vitamin B3), thiamine (Vitamin B1), selenium, iron, magnesium, zinc, phosphorus, copper dan niacin), sedikit lemak serta tidak mengandungi kolesterol seperti bijirin-bijirin lain.