'Pak belang' baham lembu bukan di Felda Ulu Tebrau - Perhilitan

Tangkap layar video yang memaparkan harimau belang sedang melahap seekor lembu sebenarnya berlaku di Indonesia.
Tangkap layar video yang memaparkan harimau belang sedang melahap seekor lembu sebenarnya berlaku di Indonesia.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Video tular memaparkan harimau membaham lembu bukan berlaku di Felda Ulu Tebrau di Ulu Tiram sebaliknya di Indonesia.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Aminuddin Jamin berkata, perkongsian video itu boleh mengelirukan ramai dan perlu dipadam kerana ia tiada kaitan dengan kemunculan harimau di Felda Ulu Tebrau.

"Perhilitan masih menjalankan siasatan dan kami sedar ada gambar dan video yang tular mendakwa ia berlaku di Felda Ulu Tebrau.

"Kami masih menyiasat kesahihannya, manakala video yang menunjukkan harimau makan lembu berkenaan dipercayai berlaku di Indonesia," katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wse Tse berkongsi sebuah video berdurasi 17 saat menunjukkan kejadian di sebuah kebun yang dinyatakan berlaku di Felda Ulu Tebrau.

Perkongsian beliau menerima pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Sementara itu, Ketua Kampung Felda Ulu Tebrau, Ab Jalil Sahlan berkata, perkongsian maklumat palsu itu menimbulkan kegusaran ramai.

"Apa pun kami masih menunggu laporan dan maklumat dari Perhilitan yang memantau dan memasang perangkap kamera di kawasan berkenaan," katanya.