Seragamkan tambang teksi, e-hailing

KOTA KINABALU - Gabungan Persatuan Teksi, Kereta Sewa, Limosin Lapangan Terbang Sabah, Sarawak dan Labuan mencadangkan kepada kerajaan supaya melaksanakan beberapa inisiatif untuk membantu pengusaha kekal dalam industri.
Setiausahanya, Asad Hanapi berkata, antara inisiatif yang diharapkan adalah pelaksanaan penyeragaman harga tambang teksi dan perkhidmatan e-hailing di Borneo.
"Kami pemain industri memohon kerajaan untuk menyeragamkan tambang pengangkutan awam terutama di Borneo kerana harga tambang merupakan isu bagi kedua-dua industri teksi dan e-hailing.
"Jika kedua-dua tambang dapat diselaraskan, terpulang kepada pengguna untuk menggunakan mana-mana perkhidmatan dan ini memberi persaingan yang adil kepada kedua-dua pihak," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.