Elavarasan tak risau persiapan singkat

Malaysia berdepan cabaran getir apabila diundi dalam Kumpulan B bersama Vietnam, Thailand, Laos dan Singapura. - Foto FAM
Malaysia berdepan cabaran getir apabila diundi dalam Kumpulan B bersama Vietnam, Thailand, Laos dan Singapura. - Foto FAM
A
A
A

PENGENDALI skuad bawah 22 (B-22) tahun negara, E Elavarasan tidak risau walaupun berdepan persiapan singkat menghadapi Sukan SEA di Kemboja, bermula Rabu ini.

Menurutnya, pemain yang bersama skuad tersebut sudah mengetahui corak permainan pasukan dan tidak berdepan masalah untuk cepat menyesuaikan diri sebelum temasya dwitahunan itu membuka tirainya.

"Cara kita buat tahun ini lain sikit sebab kita ada kem pertama, kem kedua dan kem ketiga.

"Walaupun lewat dia (pemain dikumpulkan) sampai, tapi dia tahu matlamat kita, modul kita, jadi untuk saya bukan isu lewat sampai ke apa.

"Bagi saya, kita dah buat banyak latihan dan tunjuk ajar untuk pasukan yang kita panggil sekarang," katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di Wisma FAM di Kelana Jaya pada Sabtu.

Dalam saingan Sukan SEA kali ini, Malaysia berdepan cabaran getir apabila diundi dalam Kumpulan B bersama Vietnam, Thailand, Laos dan Singapura.

Beliau turut optimis kemampuan barisan pemainnya bagi menghadapi aksi pertama berdepan Laos, Rabu ini.

"Fokus utama kita perlu melakukan yang terbaik, mudah saja bukan kecergasan ke apa...sebab tiga hari buat persediaan dan terus terbang ke Kemboja.

"Lepas itu pada 3 Mei kita sudah sedia untuk aksi pertama, sebelum main lagi pada 6, 8 dan 11 Mei, sebelum ke separuh akhir dan final pada 13 dan 16 Mei," katanya.