PSI dimulakan selepas EMP diluluskan

Kon Yeow (kiri) menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Batu Kawan dan Kawasan Dewan Undangan Negeri Bukit Tambun di Taman Tangling, pada Sabtu.
Kon Yeow (kiri) menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Batu Kawan dan Kawasan Dewan Undangan Negeri Bukit Tambun di Taman Tangling, pada Sabtu.
A
A
A

BATU KAWAN - Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) akan dimulakan sebaik sahaja Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) diluluskan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya menjangkakan kelulusan EMP tidak akan mengambil masa yang lama seperti kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan dijangka memulakan projek terbabit pada suku ketiga tahun ini.

“Mengikut amalan biasa, ia boleh diluluskan dalam masa mungkin dua bulan sebab setiap agensi pun ada petunjuk prestasi utama (KPI) yang perlu dipatuhi.

“Dalam peringkat ini, jika JAS merasakan EMP yang bakal kita kemukakan masih tidak lengkap, mereka boleh beri maklum balas dan kita akan semak dan tambah baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Batu Kawan dan Kawasan Dewan Undangan Negeri Bukit Tambun di Taman Tangling pada Sabtu.

Pada Rabu, JAS pusat telah meluluskan Laporan EIA bagi Projek PSI dengan berasaskan 71 syarat ditetapkan termasuk keperluan meneruskan pelaksanaan Skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) dan Pelan Induk Pengimbangan Ekologi (PEOM) projek berkenaan.

Kon Yeow sebelum ini berkata, 71 syarat yang dikenakan JAS terhadap kelulusan Laporan EIA bagi Projek PSI seperti yang diminta.

Katanya, kesemua syarat-syarat tersebut telah dilampirkan bersama surat kelulusan yang diberikan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pulau Pinang, Datuk Mohd Sayuthi Bakar.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri komited untuk memastikan kesemua syarat yang ditetapkan dipatuhi bagi melancarkan proses kelulusan EMP.

“Kita akan bentangkan cadangan bagaimana untuk mematuhi syarat-syarat berkenaan dan banyak siri mesyuarat teknikal diadakan.

“Ia bertujuan untuk agensi-agensi berkaitan memberi maklum balas kepada laporan yang jururunding kita sediakan.

“Kita akan minta pakar kaji bagaimana kita nak tunaikan kerana 71 syarat itu sebenarnya bukan perkara baru dan telah pun dirundingkan di peringkat teknikal, tetapi kita akan muktamadkan bagi memastikan proses kelulusan EMP lancar,” katanya.

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedia mendengar sebarang keluhan atau bantahan daripada nelayan tempatan berhubung projek PSI.

"Kalau mereka mahu kemukakan bantahan kita akan dengar dan kerajaan negeri juga akan berikan penjelasan," katanya.

Perdana Menteri menegaskan projek PSI itu pada masa ini menerima kelulusan bersyarat daripada EIA.

"EIA meluluskan pada prinsipnya dengan 71 syarat. Jadi kita telitilah. Saya dah kemukakan beberapa kebimbangan terutama (bagi) pihak nelayan dan penduduk setempat yang berbilang kaum dan biarkan proses ini berjalan," katanya