Cuaca panas melampau: Warga emas, bayi antara berisiko

Info grafik yang dimuat naik di Facebook KKM pada Sabtu.
Info grafik yang dimuat naik di Facebook KKM pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Warga emas berusia 65 tahun ke atas, bayi dan kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah serta ibu hamil dan menyusukan anak antara golongan yang berisiko tinggi apabila terdedah kepada cuaca panas.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berkongsikan perkara itu menerusi info grafik dimuat naik di Facebook turut memaklumkan jenis pekerjaan dan status kesihatan yang perlu diberi perhatian rentetan beberapa kawasan di Malaysia telah dilanda cuaca panas dengan suhu yang tinggi sejak kebelakangan ini.

"Penghidap penyakit kronik (sakit jantung dan darah tinggi), pekerja yang terdedah dengan cuaca panas serta individu aktif sebagai contoh ahli sukan berisiko tinggi apabila cuaca panas," menurut maklumat dalam info grafik tersebut.

Posting yang dimuat naik pada pagi Sabtu itu juga mengingatkan fenomena cuaca panas memberi kesan kepada kesihatan seperti boleh mengakibatkan strok haba apabila terdedah secara berterusan.

Jelas info itu lagi, langkah bagi mengurangkan pendedahan terhadap cuaca panas perlu diambil untuk mengurangkan kesan terhadap kesihatan.

Kerajaan Kelantan minta atlet, pemain sukan kurangkan aktiviti

Sementara itu, kerajaan negeri Kelantan meminta para atlet serta pemain sukan untuk mengurangkan aktiviti sukan termasuk latihan di tempat terbuka berikutan cuaca panas sedang melanda negara ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, bagaimanapun setakat ini pihaknya tidak bercadang untuk menutup pusat sukan mahupun stadium.

"Majlis Sukan Negeri juga telah melakukan perjumpaan serta perbincangan dengan jurulatih serta pengurus sukan untuk mendapatkan solusi bagi berdepan musim kemarau yang berlaku kini termasuk cadangan untuk melakukan latihan di tempat tertutup.

"Kita seboleh-bolehnya ingin mengehadkan aktiviti luar terutama ketika cuaca panas, sekali gus mengurangkan risiko kesihatan terhadap atlet serta pemain sukan. Kita tidak mahu berlaku sebarang kejadian tidak diingini termasuk kes kematian membabitkan strok haba kepada para atlet dan ahli sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 144H Pas Kelantan di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad V. Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan kepimpinan tertinggi Pas Kelantan.

Sementara itu, dalam perkembangan sama Ahmad menasihatkan rakyat negeri ini agar berwaspada dan tidak terdedah dengan cuaca panas yang luar biasa ini, sekali gus bekerjasama menghindari kes strok haba.

"Kita tidak pernah mengalami cuaca yang sangat panas ini. Oleh itu, rakyat diminta agar terus berhati-hati selain menjaga kesihatan terutama kerap minum air dan mengurangkan aktiviti luar,” katanya.

Mengulas mengenai rumah terbuka, Ahmad berkata pihaknya menyasarkan 50,000 pengunjung hadir pada majlis berkenaan yang dilengkapi dengan sebanyak 33 gerai menyediakan pelbagai jenis makanan dan minuman.

Sebelum ini, tular dalam media sosial mengenai kematian dua kanak-kanak iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang meninggal dunia di Klinik Kesihatan Balai, Bachok dan seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun tujuh bulan dari Kampung Kota di sini meninggal dunia Selasa lepas dipercayai akibat strok haba.

Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan hanya satu kes kematian akibat stok haba di Kelantan melibatkan kanak-kanak berusia 11 tahun.