Jenazah Mael XPDC selamat dikebumi di Muar

Jenazah Allahyarham Mael selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bakri, Batu 6, Muar pada Jumaat.
Jenazah Allahyarham Mael selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bakri, Batu 6, Muar pada Jumaat.
A
A
A

MUAR - Jenazah Allahyarham Mael XPDC, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bakri, Batu 6, di sini, pada pagi Jumaat.

Pemain bass XPDC, Zuar atau nama sebenarnya, Azuar Md Tasi, 54, berkongsi sebelum ini jenazah Allahyarham berada di kediaman anaknya di Jalan Sungai Abong, Muar.

"Alhamdulillah jenazah Allahyarham Mael selamat dikebumikan sekitar pukul 11.10 pagi ini di Tanah Perkuburan Islam Bakri, Batu 6, Muar," katanya ketika ditemui di sini pada Jumaat.

Antara yang hadir termasuklah anggota XPDC dan bekas gitaris kumpulan Wings, Joe Branko.

Kira-kira 200 orang termasuk ahli keluarga, peminat serta penduduk setempat memenuhi pekarangan tanah perkuburan bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Allahyarham Mael atau nama sebenarnya, Syed Ismail Syed Ibrahim menghembuskan nafas terakhir pada usia 55 tahun di Hospital Muar, Johor kira-kira jam 9.30 malam, Khamis

Berita pemergian disahkan anak perempuan Allahyarham, Sharifah Irfatasha.

"Adalah dengan sedihnya dimaklumkan bapa saya, Syed Ismail Syed Ibrahim, 55, menghembuskan nafas terakhir di pada hari Khamis. 27 April lebih kurang jam 9.30 malam di Hospital Muar," katanya menerusi satu kiriman teks di aplikasi WhatsApp.

Pemergian Allahyarham Mael mengejutkan seluruh industri hiburan serta pemimpin negara yang turut mengutus salam takziah buat keluarga penyanyi tersohor itu.

Antara yang mengucapkan takziah ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkata bahawa Mael sebagai antara nama besar dalam lapangan seni tanah air dan khabar duka itu pasti akan meninggalkan dampak dalam industri muzik rock tempatan.

Turut berkongsi rasa duka dengan pemergian Mael ialah Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.