City mudah jinakkan Arsenal

Bernardo Silva (kiri) dan Erling Haaland (tengah) meraikan kemenangan 4-1 ke atas Arsenal. - Foto EPA
Bernardo Silva (kiri) dan Erling Haaland (tengah) meraikan kemenangan 4-1 ke atas Arsenal. - Foto EPA
A
A
A

PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola tidak mahu mendabik dada dan menegaskan kemenangan 4-1 keatas Arsenal bukan penentu kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) milik mereka.

Dua gol daripada Kevin De Bruyne selain gol daripada John Stones dan Erling Haaland menyaksikan persembahan dominan daripada City dalam aksi di Stadium Etihad itu.

Menurut Guardiola, tiga perlawanan seterusnya akan menentukan peluang City untuk menjuarai saingan EPL musim ini.

City kekal di tempat kedua dan dua mata di belakang Arsenal tetapi memiliki kelebihan dua perlawanan dalam tangan.

"Saya tahu tiga perlawanan seterusnya sangat penting. Fulham pada hari Ahad dengan apa yang Marco Silva (pengendali Fulham) lakukan musim ini adalah luar biasa.

"Kemudiannya perlawanan di laman sendiri menentang West Ham dan Leeds akan menentukan musim ini.

"Realiti hari ini kami berada di belakang Arsenal, mereka dua mata di hadapan kami," katanya.

Guardiola turut memuji aksi dominan kemenangan pasukannya yang kini memenangi 12 perlawanan liga berturut-turut menentang Arsenal.

"Dari minit pertama kami sangat fokus. Mereka bertindak balas dengan luar biasa dalam perlawanan penting," katanya.