Uzbeskistan akan mengundi dalam referendum pindaan perlembagaan

Uzbekistan akan mengadakan referendum bersejarah mengenai draf undang-undang perlembagaan yang mencadangkan perubahan meluas kepada negara dan kehidupan rakyat.
Uzbekistan akan mengadakan referendum bersejarah mengenai draf undang-undang perlembagaan yang mencadangkan perubahan meluas kepada negara dan kehidupan rakyat.
A
A
A

TASHKENT (Uzbekistan) - Negara Asia Tengah Uzbekistan akan mengadakan referendum bersejarah mengenai draf undang-undang perlembagaan yang mencadangkan perubahan meluas kepada negara dan kehidupan rakyat, termasuk hak asasi manusia dan kebebasan, akses kepada Internet dan persekitaran pelaburan.

Jika diluluskan, pungutan suara pada 30 April akan membawa perubahan besar kepada kehidupan seharian setiap daripada kira-kira 36 juta orang penduduk negara itu.

Ini khasnya kerana draf perlembagaan itu menyentuh hampir kesemua aspek kehidupan rakyat, seperti politik, pembangunan ekonomi dan sosial, yang merupakan perubahan besar pernah berlaku dalam sejarah perlembagaan negara sejak kemerdekaannya pada 1991 berikutan pembubaran Kesatuan Soviet.

Lebih 200 pindaan dan penambahan kepada 64 Perkara perlembagaan negara dicadangkan. Perbincangan mengenai cadangan pindaan dijalankan di seluruh negara dengan lebih 220,000 cadangan diterima daripada rakyat.

Dalam penyediaan draf perlembagaan, pengalaman asing yang melibatkan perlembagaan 190 negara termasuk Malaysia diambil kira.

Referendum berjiwa rakyat itu juga mengambil kira aspirasi generasi muda memandangkan jumlah penduduk negara itu dijangka mencecah 50 juta menjelang 2040, dengan lebih separuh daripada mereka terdiri daripada golongan muda, sekali gus menyediakan persekitaran yang kondusif kepada mereka yang antara yang lain memerlukan jaminan ekonomi dan sosial yang stabil, seperti yang dinyatakan dalam draf perlembagaan.

Satu aspek utama draf perlembagaan yang menyentuh hak asasi manusia, menyatakan bahawa "memastikan hak asasi manusia dan sivil dan kebebasan adalah matlamat tertinggi negara".

Bagi membentuk parlimen yang kukuh dan padu, kuasa dewan parlimen dicadang disemak, antara lain bilangan senator dikurangkan daripada 100 orang kepada 65 orang dan kuasa dewan perundangan dan Dewan Negara diperluas.

Mengenai ekonomi, cadangan pindaan antara lain menyebut bahawa negeri akan menyediakan persekitaran perniagaan dan pelaburan yang menggalakkan manakala persaingan tidak adil dan monopoli dalam aktiviti ekonomi tidak akan dibenarkan, dan bagi dasar asingnya Uzbekistan akan meneruskan dasar luar yang mesra dan aman dengan semua negara.

Di bawah pindaan itu, hukuman mati dimansuhkan di Uzbekistan, penangkapan dan penahanan atau sekatan kebebasan lain hanya akan dibenarkan oleh mahkamah.

Selain itu, setiap orang mempunyai hak untuk mengakses dan menggunakan Internet secara percuma manakala satu lagi pindaan menyebut bahawa pelucutan perumahan untuk rakyat tidak dibenarkan tanpa keputusan mahkamah.

Untuk mengukuh lagi kuasa parlimen dan memastikan penyertaan aktif rakyat dalam proses perundangan, kuasa Parlimen untuk mempertimbang Laporan Tahunan Nasional Membanteras Rasuah termaktub di peringkat perlembagaan.

Satu lagi aspek yang menarik adalah hak untuk mengemukakan cadangan perundangan kepada Dewan Undangan Majlis Oliy (Parlimen) diberikan kepada sekurang-kurangnya 100,000 rakyat yang layak mengundi, Dewan Negara, Wakil Majlis Oliy Mengenai Hak Asasi Manusia (Ombudsman) dan Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat.

Warganegara juga mempunyai hak untuk mendapatkan penjagaan perubatan yang dijamin seperti ditetapkan oleh undang-undang, yang juga termasuk penjagaan perubatan kecemasan dan segera secara percuma.

Referendum mengenai pindaan perlembagaan adalah sebahagian daripada pelbagai pembaharuan luas yang dilaksanakan oleh Presiden Shavkat Mirziyoyev sejak menjadi Presiden sementara (interim) pada September 2016, dipilih dalam pilihan raya terbuka dengan majoriti besar dalam pilihan raya presiden tahun yang sama berikutan kematian pemimpin lama Uzbekistan iaitu Islam Karimov. - Bernama