Pengantin baharu ditahan bersama 9.2kg heroin

Dadah yang berjaya dirampas hasil penahanan sepasang suami isteri di Chikus, Langkap pada Selasa. (Gambar kecil: Ahmad Adnan)
Dadah yang berjaya dirampas hasil penahanan sepasang suami isteri di Chikus, Langkap pada Selasa. (Gambar kecil: Ahmad Adnan)
A
A
A

TELUK INTAN - Pasangan yang baru sehari melangsungkan perkahwinan ditahan bersama 9.26 kilogram dadah disyaki heroin dalam satu pemeriksaan di Chikus, Langkap dekat sini pada Selasa.

Dalam kejadian 12.30 tengah hari itu, suspek berusia 23 dan 24 tahun beralamat dari Teluk Intan ditahan sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, semasa ditahan, pasangan berkenaan yang melangsungkan perkahwinan pada Isnin berada dalam sebuah kereta di parkir masjid dipercayai sedang menunggu pelanggan.

"Pemeriksaan dijalankan ke atas kenderaan itu menjumpai sebuah beg pakaian yang di dalamnya mengandungi 20 bungkusan plastik berisi bahan disyaki heroin dianggarkan bernilai RM77,000.

"Bekalan dadah yang dirampas dipercayai untuk diedarkan ke luar daerah dan boleh digunakan hampir 10,000 penagih," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mendapati kedua-dua mereka tidak bekerja dan masing-masing mempunyai rekod lampau bersabit kes dadah.

Katanya, saringan air kencing juga mendapati suami isteri itu positif dadah jenis Methamphetamine.

"Polis akan mendapatkan perintah reman terhadap pasangan berkenaan esok (Rabu) untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama," katanya.