Hentikan cubaan guling kerajaan, utamakan pembangunan negara

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Baru menyambut perayaan Aidilfitri, sudah ada desas-desus mendakwa bahawa terdapat rancangan percubaan untuk menggulingkan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dakwaan itu berdasarkan sebuah laporan portal berita pada Isnin yang menyatakan gerakan itu disertai oleh beberapa ahli Parlimen yang mana sebelum ini menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Laporan berkenaan turut menyenaraikan 10 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) termasuk Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng; Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohammad; Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan.

Menurut laporan tersebut, gerakan komplot mengguling kerajaan itu dilakukan dengan meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan.

Di bawah undang-undang antilompat parti, mana-mana ahli Parlimen yang meletak jawatan atau berhenti menjadi ahli parti akan kehilangan kerusi di Dewan Rakyat sekali gus mencetuskan pilihan raya kecil.

Susulan isu berkenaan, ia menimbulkan reaksi pelbagai pihak yang mengecam tindakan tersebut.

Mana tidaknya, belum sampai setahun Kerajaan Perpaduan mengambil alih pentadbiran negara, sudah ada percubaan untuk menjatuhkan pimpinan masa kini.

Langkah itu boleh menjejaskan kestabilan politik dan pembangunan ekonomi negara yang mana secara langsung juga memberi kesan kepada kepentingan rakyat di negara ini.

Bagaimanapun, Ka Siong yang juga Presiden MCA tampil menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai mengarut dan tidak berasas.

Ka Siong melalui siaran di Facebook rasminya pada Isnin berkata, pihaknya tidak tahu mengenai gerakan tersebut seperti mana yang dilaporkan oleh portal berita tersebut.

Jelasnya, MCA tidak akan menyokong langkah sedemikian yang memerlukan mana-mana ahli Parlimen yang dipilih untuk 'mengorbankan' kerusi mereka demi memaksa PRK diadakan.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amira Aisya Abd Aziz menerusi ciapan di Twitter pada Isnin berkata, tindakan sesetengah pihak yang didakwa cuba menjatuhkan Kerajaan Perpaduan dengan memujuk beberapa wakil rakyat BN untuk keluar parti dan bertanding semula atas tiket pembangkang itu harus dihentikan.

Ujar Amira Aisya, tindakan itu akan menyebabkan orang ramai hilang kepercayaan kepada ahli politik sedangkan perkara paling utama adalah kerajaan yang stabil.

Gerakan-gerakan seperti itu tidak perlu dilakukan terutamanya dalam keadaan ekonomi negara yang masih tidak stabil pada ketika ini.

Apa yang penting adalah keharmonian dan kesejahteraan rakyat perlu dijaga, pada masa yang sama beri keutamaan kepada hala tuju pembangunan negara ini.