Konflik Sudan: AS, Perancis pindahkan petugas kedutaan

Pertempuran terus meletus di Khartoum dan beberapa kawasan lain termasuk di bandar Bahri dan Omdurman. - Foto EPA
Pertempuran terus meletus di Khartoum dan beberapa kawasan lain termasuk di bandar Bahri dan Omdurman. - Foto EPA
A
A
A

ANKARA - Amerika Syarikat (AS) telah memindahkan petugas kedutaan dan keluarga mereka dari Khartoum, Sudan, berikutan pertempuran yang berterusan antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF).

Presiden Joe Biden mengucapkan terima kasih kepada diplomat dan tentera Amerika atas usaha mereka.

"Keganasan di Sudan telah meragut nyawa ratusan orang awam yang tidak bersalah. Ia tidak wajar dan mesti dihentikan.

"Pihak yang berperang mesti melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat, membenarkan akses kemanusiaan dan menghormati kehendak rakyat Sudan,” kata Biden.

Sementara itu, Setiausaha Negara, Antony Blinken berkata, AS menggantung sementara operasi kedutaan di Khartoum.

"Ia keputusan yang sukar tetapi perlu diambil kerana keselamatan kakitangan kami adalah tanggungjawab utama saya," kata Blinken dalam satu kenyataan.

Pada Sabtu, gencatan senjata selama 72 jam yang dipersetujui kedua-dua pihak yang bertelagah tidak dipatuhi, menyaksikan pertempuran terus meletus di Khartoum dan beberapa kawasan lain termasuk di bandar Bahri dan Omdurman.

Selain itu, kerajaan Perancis turut mengambil langkah sama dengan memulakan operasi memindahkan rakyat dan kakitangan diplomatiknya, menurut Kementerian Luar Perancis pada Ahad.

"Kementerian Eropah dan Hal Ehwal Luar dan Kementerian Angkatan Tentera sedang menyelaraskan operasi pemindahan kakitangan diplomatik dan rakyat negara kami di Sudan," menurut kementerian itu, lapor Sputnik.

Operasi pemindahan itu turut melibatkan rakyat dari negara "rakan kongsi Eropah dan sekutu" Perancis serta kakitangan diplomatik Eropah. - Bernama