Pemuda PH Perak minta penjelasan Syed Saddiq

Hasnul Zulkarnain (tengah) menyempurnakan gimik perasmian program Sketsa Rukun Negara Kelab Malaysiaku Peringkat Negeri Perak dengan melepaskan burung merpati di pavilion Zoo Taiping, hari ini.
Hasnul Zulkarnain (tengah) menyempurnakan gimik perasmian program Sketsa Rukun Negara Kelab Malaysiaku Peringkat Negeri Perak dengan melepaskan burung merpati di pavilion Zoo Taiping, hari ini.
A
A
A

TAIPING - Pemuda Pakatan Harapan (PH) Perak bakal mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagi meminta penjelasan mengenai tindakan kementerian itu hendak membawa masuk kumpulan K-Pop popular, BTS bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Ketuanya, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata, pihaknya sudah menghantar kiriman pesanan WhatsApp kepada Syed Saddiq dan bersedia bersemuka dengan beliau untuk mendapatkan penjelasan sebenar.

Menurutnya, pihaknya tidak pasti sama ada cadangan itu sudah diputuskan kementerian atau masih di peringkat cadangan.

"Saya kira tindakan dibuat menteri mungkin mengambil kira kepesatan pembangunan industri muzik K-pop di Korea Selatan yang menjana keuntungan besar sehingga RM6 bilion dan mempunyai peminat fanatik dari seluruh dunia.

"Jadi inisiatif membawa kumpulan BTS membuat persembahan di Malaysia mungkin merupakan strategi serampang dua mata menteri bukan sahaja bagi menarik lebih ramai pelancong ke negara ini, bahkan meningkatkan kualiti industri kreatif.

"Apapun, kami akan mengadakan pertemuan dengan beliau bagi mendapatkan penjelasan sebenar mengenai tindakan itu dalam masa terdekat," katanya kepada media selepas merasmikan program Sketsa Rukun Negara Kelab Malaysiaku Peringkat Negeri Perak anjuran Jabatan Penerangan Perak di pavilion Zoo Taiping, hari ini.

Hasnul Zulkarnain (dua kiri) mempamerkan cek replika hadiah utama bernilai RM7,000 yang bakal dimenangi johan pertandingan Sketsa Rukun Negara Kelab Malaysiaku Peringkat Negeri Perak di pavilion Zoo Taiping hari ini.
Hasnul Zulkarnain (dua kiri) mempamerkan cek replika hadiah utama bernilai RM7,000 yang bakal dimenangi johan pertandingan Sketsa Rukun Negara Kelab Malaysiaku Peringkat Negeri Perak di pavilion Zoo Taiping hari ini.

Hasnul Zulkarnain yang juga Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak berkata, berkenaan cadangan Kementerian Pelancongan menjadikan watak animasi popular Jepun, Doraemon sebagai maskot pelancongan Tahun Melawat Malaysia 2020, pihaknya turut meminta kerajaan mempertimbangkan semula keputusan itu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sebagai rakyat Malaysia, sepatutnya kerajaan perlu memikirkan semula kerana banyak lagi kartus animasi tempatan seperti Upin dan Upin yang boleh ditonjolkan untuk dijadikan maskot pelancongan.

"Saya mengharapkan kementerian memikirkan semula demi memastikan sentimen-sentimen negatif terhadap keputusan kerajaan dapat dielakkan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hasnul Zulkarnain merancang untuk membabitkan NGO di Perak dalam penganjuran program Sketsa Rukun Negara Kelab Malaysiaku pada masa hadapan.

"Hal ini penting bukan sahaja bagi menerapkan kecintaan terhadap rukun negara terhadap pelajar sekolah dan golongan muda, bahkan kepada golongan dewasa," katanya.