Tiada SOP khas Aidilfitri - KKM

Dr Zaliha Mustafa. - Foto Bernama
Dr Zaliha Mustafa. - Foto Bernama
A
A
A

KULAI - Kerajaan mengumumkan tiada sebarang prosedur operasi standard (SOP) khas yang bakal dilaksanakan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini, walaupun berlaku peningkatan baharu kes Covid 19 ketika ini.

Menurut Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, langkah pencegahan yang telah dilaksana setakat ini diyakini sudah mencukupi bagi menangani penularan wabak berkenaan.

"Memang jumlah kes Covid-19 sedang meningkat, tetapi masih dalam keadaan yang terkawal. Ini kerana penularan baharu melibatkan sub varian Omicron.

"Rakyat tidak perlu berasa panik kerana walaupun berlaku peningkatan, namun situasinya masih dalam keadaan terkawal dan walaupun ia mudah untuk berjangkit tetapi tahap teruk bagi kes-kes itu adalah sangat rendah, jadi tidak perlu berasa bimbang.

Zaliha berkata demikian kepada pemberita sempena Majlis Lawatan dan Sumbangan Aidilfitri di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching.

Untuk rekod, mulai 9 April hingga 15 April 2023, sebanyak 5,149 kes Covid-19 baharu telah dilaporkan, dengan jumlah kumulatif kes yang dikesan sejak penularannya di negara ini telah melebihi 5 juta kes.

Dalam masa sama, Zaliha berkata, pihak kementerian kesihatan tetap menggalakkan masyarakat untuk mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang tempoh perayaan Aidilfitri ini, khususnya ketika mengadakan kunjungan.

"Pada musim perayaan ini, pastinya akan ada kunjung-mengunjung, dan makan-makan, jadi kita minta masyarakat awam peka. Sekiranya mereka berasa kurang sihat, lakukan ujian saringan sekiranya perlu.

"Jika benar mereka dijangkiti, ambil langkah pencegahan dengan menjaga jarak dan pergaulan, manakala langkah pencegahan lain seperti memakai pelitup muka, kerap membasuh tangan dan menjaga kebersihan," katanya.

Sementara itu, Dr Zaliha berkata, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyenarai pendek beberapa calon bagi mengisi kekosongan jawatan Ketua Pengarah Kesihatan setelah Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bersara wajib Jumaat ini.

"Kita sudah senarai pendek beberapa calon untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan" katanya.