Drogba hentam kepincangan Chelsea

Drogba memenangi 12 gelaran utama sepanjang sembilan musim bersama Chelsea. - Foto Agensi
Drogba memenangi 12 gelaran utama sepanjang sembilan musim bersama Chelsea. - Foto Agensi
A
A
A

BEKAS penyerang Chelsea, Didier Drogba tidak lagi memandang tinggi The Blues kerana dakwanya wujud kepincangan dalam pengurusan pasukan.

Drogba mengkritik cara pemilik bersama, Todd Boehly mengendalikan kelab berkenaan sejak mengambil alihnya daripada Roman Abramovich.

The Blues kecundang 0-2 kepada Real Madrid di Stamford Bridge pada Rabu dan terkandas di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) dengan agregat 4-0.

Ketika saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) menuju penghujung kempen musim ini tanpa sebarang trofi, Drogba yang memenangi 12 gelaran utama sepanjang sembilan musim bersama Chelsea mengkritik rejim semasa kelab itu.

"Saya mengenali kelab ini berdasarkan kelas tertentu dalam era Abramovich tetapi hari ini saya mendapati kepincangannya," katanya.

Prestasi The Blues dalam saingan domestik juga amat mengecewakan apabila gagal mencatat sebarang kemenangan dalam tujuh perlawanan lalu.

Kemerosotan prestasi Chelsea bertambah parah selepas kelab membelanjakan sekitar 600 juta pound (RM3.31 bilion) sepanjang jendela perpindahan musim panas lalu serta Januari.

Boehly yang tiba di Stamford Bridge tahun lalu sudah memecat dua pengendali - Thomas Tuchel dan Graham Potter dan melantik Frank Lampard sebagai pengendali sementara sehingga akhir musim.

Bagaimanapun legenda Chelsea itu tewas keempat-empat perlawanan pertamanya.

Drogba mula menyertai Chelsea pada 2004 sehingga 2012 sebelum menyertai Shanghai Shenhua (2012/13) dan Galatasaray (2013/14) dan kembali ke Stamford Bridge pada musim 2014/15.