JDT tenang lepasi ujian PDRM

Forestieri (kiri) tenang melepasi halangan pemain PDRM, Jacque Faye pada perlawanan Liga Super di Petaling Jaya pada Rabu. - Foto Bernama
Forestieri (kiri) tenang melepasi halangan pemain PDRM, Jacque Faye pada perlawanan Liga Super di Petaling Jaya pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

JUARA sembilan kali berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT) tenang meninggalkan pesaing lain apabila melakar kemenangan kesembilan selepas menjinakkan PDRM FC, 1-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Rabu.

Jaringan peledak JDT, Fernando Forestieri pada minit ke-61 sudah cukup membolehkan Harimau Selatan keluar pemenang dalam perlawanan berintensiti tinggi di Petaling Jaya tersebut.

Biarpun begitu The Cops kendalian Azzmi Aziz berjaya menyerap asakan bertali arus jentera berprofil tinggi Harimau Selatan sebelum tunduk mengalah kepada jaringan Forestieri.

Kemenangan anak buah Esteban Solari terus mengukuhkan kedudukan Harimau Selatan di puncak Liga Super dengan 27 mata - 37 gol dan bolos satu - lima mata meninggalkan pasukan tangga kedua Selangor FC.

Dalam perlawanan itu, The Cops terpaksa beraksi 10 pemain pada minit ke-74 selepas kehilangan khidmat Kyaw Min Oo yang diarah meninggalkan padang selepas dilayangkan kad kuning kedua.

Sementara itu, perlawanan Perak FC menentang Negeri Sembilan FC berakhir dengan keputusan seri 1-1 di Stadium Perak, Ipoh.

Pemain Perak FC, Shafizi Iqmal (kiri) mengawal bola ketika bertemu Pasukan Negeri Sembilan FC dalam saingan Liga Super Malaysia 2023 di Stadium Perak pada Rabu.

 - Foto Bernama
Pemain Perak FC, Shafizi Iqmal (kiri) mengawal bola ketika bertemu Pasukan Negeri Sembilan FC dalam saingan Liga Super Malaysia 2023 di Stadium Perak pada Rabu.

 - Foto Bernama

Alif Zikri terlebih dulu meletakkan The Bos Gaurus kendalian Datuk Lim Teong Kim di depan pada minit kelima untuk memimpin separuh masa pertama.

Bagaimanapun hasrat Perak untuk membawa pulang tiga mata tidak kesampaian apabila Shahrel Fikri meledak jaringan penyamaan pada minit ke-70 untuk keputusan seri keempat liga angkatan K Devan selepas mengharungi lapan perlawanan.