Penunggang maut rempuh Myvi

Keadaan kereta Perodua Myvi yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 37 Jalan Kota Bharu - Kuala Krai pada Rabu.
Keadaan kereta Perodua Myvi yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 37 Jalan Kota Bharu - Kuala Krai pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan motosikal di Kilometer 37 Jalan Kota Bharu - Kuala Krai pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kejadian dipercayai berlaku pada jam 8.30 pagi di simpang tiga Taman Desa Bakti, Machang.

Menurut beliau, kemalangan berlaku ketika pemandu kereta Perodua Myvi berusia 29 tahun yang memandu berseorangan dari arah Kota Bharu ke Kuala Krai.

"Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu itu memberi isyarat ke kanan dan berhenti di tengah jalan.

"Setelah memastikan tiada kenderaan datang dari arah bertentangan, pemandu itu terus membelok ke kanan memasuki lorong di sebelah kanan," katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Bagaimanapun katanya, sebuah motosikal yang ditunggang mangsa, Rostam Abd Rasid dari arah Machang menghala ke Kota Bharu tiba-tiba melanggar bahagian sisi kiri belakang kereta Myvi.

Jelasnya, akibat pelanggaran, penunggang tercampak sebelum terjatuh di hadapan simpang jalan berkenaan.

"Mangsa cedera di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.

"Mangsa dihantar ke Hospital Machang untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987," katanya.