Waspada individu menyamar pegawai kesihatan: Exco NS

S Veerapan
S Veerapan
A
A
A

SEREMBAN – Pengusaha dan pemilik premis dinasihatkan berhati-hati dengan individu yang menyamar sebagai pegawai kesihatan dan menjual papan tanda ‘Dilarang Merokok’.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan, S Veerapan berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kehadiran beberapa individu yang memperkenalkan diri sebagai Pegawai Kesihatan dari Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, individu ini memaksa pemilik restoran membeli papan tanda dilarang merokok dengan harga RM20 seunit.

“Kita telah menerima aduan daripada seorang pemilik restoran yang menyatakan ada orang datang ke premis (restoran) mereka dan memperkenalkan diri sebagai pegawai kesihatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia serta memaksa tuan punya restoran itu membeli papan tanda dilarang merokok dengan harga RM20 seunit.

“Untuk makluman orang ramai dan pengusaha restoran, pihak kesihatan tidak melantik mana-mana orang termasuk pihak anggota kesihatan untuk menjual apa-apa papan tanda ’Dilarang Merokok’ dengan menghadirkan diri ke mana-mana premis (kedai/restoran).

“Pihak kesihatan telah melihat papan tanda dilarang merokok yang dijual itu dan didapati ianya tidak mematuhi kehendak Jadual Ketiga, Peraturan Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (PPKPH 2004),” katanya dalam kenyataan, semalam.

Tambahnya, orang ramai dan pengusaha premis makanan diingatkan agar berwaspada dengan individu yang tidak bertanggungjawab yang hadir dan menyamar sebagai pegawai kesihatan atau pegawai berkuasa kesihatan untuk menjual apa-apa barangan ataupun mengutip derma.

Katanya, jika ada pihak yang menyamar, adalah dinasihatkan supaya menghubungi atau membuat laporan kepada pihak polis agar penjenayah sebegini dapat ditangkap dan diambil tindakan sewajarnya oleh pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan: