Peta bahaya seismik dirujuk dalam reka bentuk struktur bangunan

Laporan muka depan Sinar Harian pada 8 April lepas berhubung amaran pakar bahawa Malaysia berisiko mengalami gempa bumi besar.
Laporan muka depan Sinar Harian pada 8 April lepas berhubung amaran pakar bahawa Malaysia berisiko mengalami gempa bumi besar.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) menyarankan input peta bahaya seismik dirujuk dalam reka bentuk struktur bangunan di Malaysia.

Ia susulan negara mempunyai kebarangkalian berlaku gempa bumi berdasarkan bukti empirikal.

NRECC menerusi kenyataan pada Rabu memaklumkan projek pemetaan sesar aktif dan kawasan risiko gempa telah dijalankan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Sabah, Sarawak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Perak.

Menurut kementerian itu, JMG telah memasang enam stesen Penanda Aras Gempa Bumi (PAG) aktif di Sabah.

Manakala 54 PAG pasif dipasang di Sabah (29), Pahang (13) termasuk masing-masing dua di Perak, Pahang serta Sarawak.

"Stesen ini bertujuan memantau pergerakan sesar aktif yang berpotensi menyebabkan kejadian gempa bumi dan ia dipantau secara masa nyata," katanya.

Ujar NRECC, sebagai langkah mitigasi jangka panjang, JMG menjalankan program libat urus dengan pihak berkuasa tempatan dan pihak berkepentingan dalam aplikasi penggunaan peta bahaya seismik.

"Program kesedaran awam juga dilaksanakan kepada pihak berkuasa negeri, penduduk tempatan dan sekolah yang terdedah kepada ancaman risiko gempa bumi," kata kementerian itu.

Gegaran gempa bumi kuat yang berpusat di Malaysia pernah berlaku dengan kekuatan 6 hingga 6.3 skala Richter di Sabah pada tahun 1923, 1958, 1976 dan 2015.

Rekod gegaran paling kuat di Sarawak pula adalah dengan kekuatan 5.3 skala Richter pada tahun 1994.

Semenanjung Malaysia juga pernah mengalami beberapa kejadian gempa bumi dengan pusat gempa di Bukit Tinggi Pahang, Empangan Kenyir Terengganu, Kuala Pilah Negeri Sembilan dan Manjung serta Temenggor di Perak dengan julat kekuatan 1.6 hingga 4.6 skala Richter yang berlaku pada tahun 1984, 1985, 1987, 2007, 2009, 2010 dan 2013.

Tambah NRECC, kejadian gempa bumi kuat yang berlaku di Sumatera, Indonesia berpotensi mengaktifkan sesar-sesar kuno di Semenanjung Malaysia dan kesan gegaran boleh dirasai di beberapa lokasi di pantai barat Semenanjung.

Magnitud gempa bumi yang boleh terhasil adalah bergantung kepada saiz sesar kuno yang diaktifkan.

Bagi Sabah dan Sarawak, kejadian gegaran gempa bumi adalah disebabkan oleh kombinasi pengaktifan sesar-sesar kuno akibat daripada himpitan oleh pergerakan tektonik Plat Filipina dan Plat Eurasia serta pergerakan sesar aktif tempatan.