Aiskrim Malaysia

A
A
A
AISKRIM MALAYISA... Dibungkus dalam plastik berbentuk silinder, berwarna-warni dan pelbagai perisa, aiskrim Malaysia kekal menjadi pencuci mulut kegemaran dan pilihan warga Malaysia yang 'tak lapok dek hujan tak lekang dek panas'.

Jika dulu hanya beberapa perisa seperti asam boi, jagung dan bandung ditawarkan, kini pelbagai perisa tambahan dengan campuran pelbagai bahan lain seperti vanila coklat, onde-onde gula melaka dan laici sakura turut menambat hati penggemar.

Bagi usahawan aiskrim Malaysia, Nur Mala Amin, 36, perisa 'magnum peanut', 'bluemint' dan durian antara yang istimewa daripada 19 perisa ditawarkan dan mendapat permintaan tinggi daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Beliau berkata, tiga perisa istimewa ini dijual pada harga RM2.50 kerana kualiti bahan yang digunakan dan proses pembuatannya lebih rumit, namun terdapat sembilan perisa lain yang tidak kurang enaknya seperti 'choki-choki', sumi, teh hijau, laici, strawberi dan anggur yang masing-masing dijual pada harga RM1.50 dan RM1.00 sebatang.