Cuaca panas: Tiada peningkatan pembelian penyaman udara, kipas

Peniaga barangan elektrik mengakui tidak berlaku peningkatan jualan alat penyaman udara di premis masing-masing susulan cuaca panas dan kering ketika ini. Gambar kecil dari kiri: Braden, Lim Oh, Wee Jack
Peniaga barangan elektrik mengakui tidak berlaku peningkatan jualan alat penyaman udara di premis masing-masing susulan cuaca panas dan kering ketika ini. Gambar kecil dari kiri: Braden, Lim Oh, Wee Jack
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Kebanyakan peniaga barangan elektrik mengakui tidak berlaku peningkatan bagi penjualan alat penyaman udara di premis masing-masing susulan cuaca panas dan kering ketika ini.

Bagi pemilik premis peralatan elektrik di Nusa Sentral, Iskandar Puteri, Lim Oh, 72, berkata kebanyakan pelanggan yang datang ke premisnya dilihat membeli peralatan lain seperti televisyen, peti ais dan sebagainya.

Malah katanya, ada juga yang membeli kipas terutamanya kipas siling dipercayai untuk dipasang di rumah masing-masing berikutan cuaca panas dan kering ketika ini.

“Aircond ni tak ramai orang beli, sebab mahal...jadi orang banyak beli kipas sekarang cuaca panas, mesti kena kipas selalu.

“Tapi minggu ini ada rasanya orang yang datang beli aircond di sini, mungkin baharu pindah rumah...tapi ramai yang beli kipas sahaja dalam satu bulan ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Pendapat itu dipersetujui jurujual alat penyaman udara di Skudai, Ng Wee Jack, 32, yang mengakui jualan bagi kipas, 'aircond' adalah seperti biasa.

Katanya, tidak ada berlaku sebarang peningkatan luar biasa bagi pembelian kedua-dua barangan berkenaan.

“Kebiasaannya, ramai yang hantar untuk baiki aircond dan memang tak ada peningkatan daripada segi jualannya.

“Mungkin yang membeli peralatan baharu adalah mereka yang baru berpindah, semua barang juga mestilah yang baharu juga,” katanya.

Sementara itu, jurujual alat penyaman udara, Braden Kang, 21, berkata, ramai yang datang ke premisnya di Taman Mutiara Rini Skudai hanya untuk meninjau atau melihat-lihat peralatan elektrik yang dipamerkan, termasuklah alat penyaman udara.

Bagaimanapun katanya, tidak ramai yang datang untuk membuat pembelian alat penyaman udara berkenaan.

“Memang cuaca agak panas sekarang, tetapi tidak ada increase (peningkatan) dalam jualan aircond ini, masih biasa sahaja.

“Ramai yang datang survey sahaja...dulu kalau jual pun pernah sampai 10 alat penyaman udara sehari.. tapi sekarang nak jual satu pun susah,” ujarnya.