MAG rancang perkukuh kewangan menjelang 2023

Dari kiri: Bryan Fomh Chee Yeong,Izham Ismail dan Boo Hui Yee
Dari kiri: Bryan Fomh Chee Yeong,Izham Ismail dan Boo Hui Yee
A
A
A

MALAYSIA Aviation Group (MAG) merancang beberapa langkah proaktif bagi memperkukuh kewangan menjelang tahun 2023 selepas memperoleh untung bersih sebanyak RM1.146 billion pada suku keempat 2022.

Pengarah Urusan MAG, Izham Ismail, berkata, walaupun memperoleh keuntungan suku yang terbaik selepas dua dekad, namun pihak mereka tetap berdepan dengan masalah kenaikan harga bahan api dan juga tukaran mata wang asing.

“Walaupun mencatatkan keuntungan namun isu utama dalam mengekalkan permintaan perjalanan agar kekal baik adalah kenaikan harga bahan api secara berterusan dan juga tukaran mata wang asing yang tidak menentu selain kos operasi yang tinggi disebabkan inflasi, kekangan buruh dan risiko geopolitik.

“Kami mengharapkan agar mata wang ringgit terus diperkukuh untuk memastikan keuntungan berterusan,” ujarnya dalam satu sidang media pada Selasa.

Tambah beliau, walaupun melalui situasi makroekonomi yang mencabar, namun terdapat beberapa langkah bagi memastikan syarikat itu kekal relevan dan mampu bersaing bagi memastikan sektor pelancongan serta perdagangan diperkukuh.

Jelasnya, MAG optimis dalam memastikan kelestarian pengangkutan dan pengalaman kepada pelanggan menikmati perkhidmatan mereka secara berterusan.

Justeru, menurutnya, bagi mempercepatkan agenda Pelan Tindakan Kemampanan dalam semua

sektor mereka perlu memberi inspirasi kepada perubahan positif melalui pelbagai inisiatif termasuk tindakan iklim, tenaga mampu dan bersih.

“Dengan kehadiran pelancong dari Eropah, Asia Tenggara, Australia telah membawa kepada trend positif termasuk pembukaan semula sempadan China yang akan memacu pertumbuhan ekonomi khususnya perdagangan.

“MAG berharap untuk menerima penghantaran empat daripada 25 Boeing 737-8 dari 3Q23 dan seterusnya akan menyaksikan peningkatan operasi secara langsung dengan kos bahan api yang lebih rendah dan meningkatkan kecekapan rangkaian keseluruhan,” katanya.