PM setuju cadangan Sarawak wujudkan penerbangan butik

Anwar bergambar dengan kakitangan hotel pada Majlis Perasmian Rais Hotel dan Convention Centre Kuching dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Asnaf dan Anak Yatim hari ini. Foto Bernama
Anwar bergambar dengan kakitangan hotel pada Majlis Perasmian Rais Hotel dan Convention Centre Kuching dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Asnaf dan Anak Yatim hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju secara prinsipnya dengan cadangan Kerajaan Negeri Sarawak untuk menubuhkan sebuah syarikat penerbangan butik.

Beliau berkata, penubuhan syarikat penerbangan itu boleh meredakan keadaan kadar tambang yang mahal khususnya di antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak.

"Melihat kepada prestasi dan keupayaan Kerajaan Sarawak, pada dasarnya saya bersetuju tentang penubuhan syarikat penerbangan itu,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Hotel dan Pusat Konvensyen Raia di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, cadangan itu juga akan dibawa untuk perbincangan lanjut dalam mesyuarat mingguan Jemaah Menteri Persekutuan esok.

"Saya setuju malah dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu lalu dan Rabu ini, kita bincangkan (lagi berhubung kadar tambang penerbangan yang tinggi dan cadangan penubuhan syarikat penerbangan butik Sarawak),” katanya.

Terdahulu, dalam ucapan di majlis sama, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menzahirkan harapan agar Kerajaan Persekutuan dapat meluluskan penubuhan syarikat penerbangan itu.

Beliau berkata, penubuhan syarikat itu adalah bertujuan untuk menstabilkan harga tambang penerbangan ke Sarawak yang tinggi.

"Kita (Sarawak) di Pulau Borneo, orang datang ke sini perlu gunakan kapal terbang... mereka tak dapat guna cara lain tetapi kadar tambang mahal.

"Kita sebenarnya tidak mahu bersaing (dengan syarikat penerbangan lain) tetapi hanya mahu stabilkan kadar tambang. Kadar tambang Kuala Lumpur ke Kuching sama seperti Kuala Lumpur ke Hong Kong. Kerajaan negeri sudah bersedia untuk melabur dalam syarikat penerbangan,” katanya.

Pada 13 November tahun lepas, Abang Johari dilapor berkata Kerajaan Negeri Sarawak masih menunggu lesen dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan bagi membolehkan syarikat penerbangan butik miliknya memulakan operasi. - Bernama