Imigresen tahan 18,915 PATI sejak awal tahun

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Daripada 81,833 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diperiksa di seluruh negara sejak Januari sehingga kini, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menahan 18,915 daripada mereka atas pelbagai kesalahan berkaitan imigresen.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, tangkapan tertinggi melibatkan warga Indonesia seramai 6,484 orang, Bangladesh (4,291 orang), Myanmar (1,828 orang), Filipina (1,720 orang) serta 4,492 pelbagai warga negara lain, dan pada masa yang sama 429 majikan turut ditahan sepanjang tempoh itu.

“Jabatan Imigresen akan menjalankan operasi penguatkuasaan secara berterusan bersama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, dan Pihak Berkuasa Tempatan,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu awal pagi tadi, Jabatan Imigresen yang mengadakan operasi penguatkuasaan bersepadu di Pasar Borong Kuala Lumpur di sini, telah menahan 57 PATI daripada 418 orang yang diperiksa atas pelbagai kesalahan imigresen.

Khairul Dzaimee berkata, operasi itu juga mendapati 175 daripada 418 orang yang diperiksa, direkodkan sebagai pemegang kad Pesuruhaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

“Op berkenaan memfokuskan kepada warga asing yang menjalankan perniagaan bukan sahaja di pasar borong tetapi termasuk di pasar harian, pasar malam, gerai-gerai jalanan, penjaja, pasar mini dan kedai-kedai runcit. Tindakan juga dibuat terhadap majikan yang mengambil pekerja warga asing tanpa permit,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: